Select Page

Hakim Danish, Qabil terima insentif Kerajaan Terengganu

Hakim Danish, Qabil terima insentif Kerajaan Terengganu

PELUMBA cilik negara, Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan Azlan, masing-masing menerima imbuhan RM5,000 susulan kejayaan mengharumkan nama negara, baru-baru ini.

Ganjaran itu diberikan kerajaan negeri Terengganu setelah Hakim Danish, 15, muncul juara Asia Talent Cup manakala Qabil Irfan, 10, meraih tempat ketiga Super Final MiniGP Dunia, awal bulan ini.

EXCO Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata, pihaknya turut bersetuju menyerahkan sebuah jentera bernilai RM50,000 kepada Qabil Irfan untuk kegunaannya.

“Kedua-dua pelumba ini membuktikan faktor usia atau fizikal tidak menghalang mereka daripada menyaingi pelumba Eropah dan Asia yang jauh lebih berpengalaman.

“Mereka juga diangkat sebagai ikon permotoran negeri dan diharap prestasi cemerlang itu dijadikan motivasi kepada atlet muda lain terutama dalam sukan permotoran,” jelas Wan Sukairi.

ARTIKEL BERKAITAN : Hakim Danish naib juara Perlumbaan 2 Pusingan 1 European Talent Cup di Estoril, Portugal

Sementara itu Wan Sukairi mengumumkan penganjuran edisi sulung Siri Motocross Terengganu (TMS) 2023 di lima venue bermula Mac sehingga November tahun depan.

Beliau berkata, dijangka hampir 3,000 pelumba dari dalam dan luar negara mengambil bahagian pada kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM80,000 itu.

“Sukan motosikal lasak sangat diminati di Terengganu dan terdapat trek di setiap daerah di bawah kendalian kelab motocross selain penglibatan pihak persendirian yang sangat aktif.

“TMS 2023 akan diadakan di Trek Kubang Ikan (Mac), Dungun (Mei), Trek Kelimo Kerteh 5 (Ogos), Trek Monica Bay, Kemaman (Oktober) dan berakhir di Sand Trek Kerteh pada November.

“Dengan kos penganjuran hampir RM1 juta, diharap kejohanan TMS 2023 dapat membangunkan sukan permotoran dan mencungkil bakat baharu dalam kalangan pelumba muda,” tambahnya.

ARTIKEL BERKAITAN : MotoGP Mini Dunia 2022 : Kehadiran pelumba Eropah tidak menggerunkan Qabil Irfan

Video Terkini

Loading...