MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) sentiasa mengalu-alukan kesudian mana-mana persatuan sukan membawa masuk kejohanan besar di negara ini.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, MOM menghormati setiap perancangan dilakukan persatuan sukan untuk atlet mereka.

“Sudah tentu saya alu-alukan kerana penganjuran acara sukan besar akan menjadi pemangkin kepada fast track sukan negara.

“Malah ia juga boleh meningkatkan motivasi kepada pemain, jurulatih mahupun sesiapa sahaja yang kita panggil pemain industri sukan, untuk memainkan peranan lebih pro aktif dan lebih bersedia menghadapi kejohanan-kejohanan,” kata Norza, ketika ditemui pada kejohanan tenis Piala Billie Jean, di Kompleks Sukan Jalan Duta.

Tan Sri Mohd Norza Zakaria mahu persatuan sukan ambil kesempatan dedah atlet melalui kejohanan antarabangsa yang dianjurkan dalam negara.

Beliau memuji Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) yang menggalas tanggungjawab menganjurkan kejohanan berprestij yang berlangsung bermula hari ini hingga 29 Julai.

Malaysia diberi kepercayaan oleh Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) selaku tuan rumah buat kali kedua berturut-turut, membabitkan penyertaan 12 pasukan zon Asia/Oceania.

Kepercayaan itu menjadi bukti bahawa Malaysia sentiasa menjadi pilihan penganjuran acara sukan antarabangsa dan Norza berharap, lebih banyak persatuan mengambil inisiatif sedemikian.

“Seharusnya apa dilakukan LTAM menjadi contoh kepada persatuan lain untuk mencari jalan bagaimana membawa kejohanan besar ke Malaysia.

Perarakan negara yang mengambil bahagian dalam kejohanan Piala Billie Jean.

“Malaysia sudah menapak sebagai hab penganjuran dalam acara sukan dan inisiatif ini menjadi pemangkin semangat kepada atlet negara,” kata Norza.

Pada kejohanan itu, Malaysia diwakili S Selvarajoo sebagai kapten, bersama-sama Lim Sze Xuan, Shihomi Leong, Lim Zan Ning, Hannah Yip dan Iman Shuhada.

Negara lain mengambil bahagian adalah New Zealand, Pakistan, Hong kong, Mongolia, Indonesia, Singapura, Turkmenistan, Guam, Taiwan, Sri Lanka dan Pasifik Oceania.