KELAB Manchester United dilaporkan telah memberi lampu hijau untuk berpisah dengan Antony Matheus dos Santos pada Januari depan dalam satu perjanjian pertukaran yang menarik yang mungkin melihatnya kembali ke Brazil.

Pemain muda berusia 23 tahun yang menghadapi kesukaran sejak kedatangannya bernilai £85.5 juta (RM500.41 juta) di Old Trafford pada musim panas 2022 itu hanya mampu menjaringkan sebanyak lapan gol dalam 54 perlawanannya di semua pertandingan.

Pada masa yang sama, pemain Brazil ini masih belum menjaringkan sebarang gol pada musim 2023-24, walaupun telah bermain dalam 10 perlawanan mewakili pasukan Erik Ten Hag dan penampilannya di atas padang dikritik ramai.

Image

Pemain sayap Flamengo, Gabriel Barbosa dalam penelitian untuk perjanjian pertukaran dengan Antony Santos.

Menurut The Mirror, United kini dalam usaha mencari penyerang baharu dan mungkin menawarkan Antony sebagai pertukaran demi penyerang Flamengo, Gabriel Barbosa.

Barbosa sebelum ini telah menjaringkan 20 gol dalam 55 penampilan di semua pertandingan bagi Flamengo pada musim lepas. Pemain berusia 27 tahun yang bermain sebagai penyerang tengah, telah dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Perdana sejak lama, dengan Arsenal, West Ham, dan Newcastle sebelum ini telah menunjukkan minat untuk menandatanganinya.

Perjanjian ini secara tidak langsung akan membuatkan bekas pemain sayap Ajax itu berpindah ke pasukan Liga Perdana Brazil melalui perjanjian pertukaran. Difahamkan, agak sukar untuk Antony mempunyai perjanjian kekal memandangkan kontraknya akan tamat pada 2027.

Terdahulu, bintang United ini telah terlepas beberapa perlawanan musim ini selepas dia diberi cuti untuk mempertahankan dirinya berkaitan tuduhan keganasan rumah tangga yang dibuat terhadapnya oleh tiga wanita.

Dia kembali ke Brazil pada September lalu untuk menangani tuduhan tersebut sebelum kembali ke United Kingdom di mana dia bertemu dengan polis Greater Manchester. Antony kemudiannya telah membantu United menang 2-1 menentang Brentford pada awal Oktober.

Sebagai rekod, The Red Devils menghadapi kesukaran menjaringkan gol pada musim ini dengan Marcus Rashford hanya berjaya menjaringkan satu gol dan penyerang bernilai £72 juta (RM421.40 juta), Rasmus Hojlund, masih menunggu gol pertamanya dalam Liga Perdana.

Terkini, kelab United berada di kedudukan kelapan dalam jadual Liga Perdana selepas berjaya menjaringkan hanya 12 gol pada musim ini. Bruno Fernandes berjaya membantu pasukannya bangkit dengan menjaringkan gol dalam kemenangan 1-0 menentang Fulham pada Sabtu, selepas dua kekalahan 3-0 berturut-turut kepada Manchester City dan Newcastle.