PUSINGAN  kesembilan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan kembali ke Bandar Medini Iskandar, Iskandar Puteri hujung minggu ini.

Menjadi perhatian pelumba pasukan Yamaha Estremo 27 Racing Md Adib Arsyad yang dijangka akan mengekalkan kedudukannya ketiga teratas di kategori Wira KBS.

Sepanjang musim ini, pelumba yang berasal dari Johor ini telah tampil dengan prestasi yang hebat dan kini menduduki tempat ketiga secara keseluruhan dengan jumlah sebanyak 117 mata.

Walaupun mencatat “DNF” di pusingan kelima dan “EXC” di pusingan ketujuh, Adib melakarkan  podium sebanyak lima kali sepanjang musim ini termasuk dua kemenangan telah memberikan beliau kelebihan di carta keseluruhan.

Adib yang kurang 20 mata daripada pesaing di tempat kedua masih mempunyai peluang untuk mara ke depan dan perlu lebihkan fokus supaya dapat bertanding dengan lebih kompetitif.

Pada musim lepas di Litar Medini, Adib yang masih baharu di kategori ini hanya berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kesepuluh.

Jelas ternyata, Adib telah tampil dengan peningkatan prestasi secara keseluruhan pada musim ini berbanding dengan musim lepas dengan hanya berjaya di tangga ketujuh secara keseluruhan.

Berbaki dua pusingan dan hanya 35 mata beza dengan pesaingnya di tempat keempat, peluang masih terbuka untuk perubahan di carta kejuaraan melainkan jika Adib mampu memberikan saingan yang secukupnya untuk meningkatkan mata keseluruhan.

“Litar Medini ini agak mencabar bagi saya kerana ia adalah litar teknikal yang memerlukan stamina yang bagus serta daya fizikal dan mental yang kuat.

“Bagi saya, untuk mengatasi cabaran tersebut dan naik ke tangga kedua bukanlah semudah yang dijangka kerana Farees dan Akif adalah pesaing-pesaing yang kuat dan mereka sudah pasti ingin mempertahankan kedudukan mereka.

Selain daripada mereka, pelumba-pelumba lain juga agak hebat dan semua mempunyai peluang untuk menang,” jelas Adib.

Mengenai jenteranya, Adib memberitahu bahawa tiada banyak perubahan.

“Pasukan saya baru-baru ini juga telah menaikkan taraf jentera dari aspek enjin. Untuk persiapan, saya lebihkan senaman kardio di gim.

“Saya juga banyak berjogging untuk meningkatkan stamina saya. Saya berharap dapat mengekalkan kedudukan saya di pusingan yang akan datang dan kalau boleh, cuba untuk juara keseluruhan. Matlamat saya adalah untuk berlumba di kategori CP125 pada musim depan dan mencari pengalaman baharu,” tambahnya.