Kredit Gambar: Paul Ellis/AFP
Legenda Manchester United, Roy Keane tampil mempertahankan pemain Manchester City, Phil Foden selepas penyerang itu dilayangkan kad merah ketika aksi derbi Manchester yang berlangsung di Stadium Old Trafford, malam tadi.
Foden dibuang padang pada pertengahan babak pertama selepas terbabit dalam pergelutan dengan kapten United, Bruno Fernandes dalam perlawanan yang berlangsung tegang sejak awal.
Insiden tercetus selepas Foden terjatuh susulan cabaran Fernandes sebelum pemain City itu bertindak balas dengan menghayunkan kedua-dua kakinya ke arah bahagian perut pemain tengah Portugal berkenaan.
Michael Oliver kemudian terus melayangkan kad merah kepada Foden sebelum keputusan berkenaan disahkan oleh Video Assistant Referee (VAR), menyebabkan pemain berusia itu terpaksa meninggalkan padang.
Keputusan tersebut bagaimanapun mengundang perdebatan, dengan Keane berpendapat Fernandes turut memainkan peranan dalam tercetusnya insiden dan sepatutnya dikenakan tindakan oleh pengadil.
“Foden bangun dan memberi reaksi, jadi dia dilayangkan kad merah. Tetapi yang peliknya, jika anda lihat semula, Bruno yang menjatuhkannya, melakukan kesilapan dan memberikan sedikit tendangan.
“Bagi saya, Bruno yang melakukan tindakan ganas di sini. Saya kena cakap dengan jujur. Saya pernah kritik Kyle Walker beberapa tahun lalu. Bagi saya, itu sepatutnya bukan kad merah buat Foden,” kata Keane ketika bertindak sebagai penganalisis Sky Sports.
Namun, pandangan berbeza diberikan bekas rakan sepasukannya, Gary Neville yang mengakui Fernandes wajar menerima kad kuning tetapi tetap menyokong keputusan Foden dibuang padang.
Menurut Neville, tindakan Foden melepaskan tendangan ke arah perut Fernandes selepas bangun daripada terjahan merupakan reaksi yang tidak boleh dilepaskan daripada hukuman kad merah.
“Foden tidak dapat menerima tindakan itu, VAR pasti akan menyemaknya. Foden jelas bertindak balas dengan melepaskan tendangan ke perut dan anda tidak akan terlepas dengan perbuatan begitu,” kata Neville.
Neville bagaimanapun kekal dengan pandangannya bahawa Fernandes sepatutnya turut menerima kad kuning kerana tindakannya sebelum Foden bertindak balas, namun menegaskan keputusan kad merah terhadap pemain City itu sukar dipertikaikan selepas berlaku tendangan ke arah pemain lawan.