PASUKAN hoki Bawah-17 Malaysia melakar kemenangan besar 6-0 ke atas Austria dalam saingan Piala Mirnawan 2024 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Isnin petang.

Ketua Jurulatih skuad muda negara, Muhammad Sufian Mohamad, mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain atas prestasi cemerlang dan taktikal yang berjaya diterapkan sepanjang perlawanan tersebut, sambil menekankan kepentingan kesepaduan pasukan yang membawa kepada kemenangan meyakinkan ini.

“Saya ucapkan Alhamdulillah dan tahniah kepada pemain-pemain. Semalam (Ahad) kita bermain dengan baik, dan hari ini dengan sedikit perubahan taktikal, pemain dapat menerapkan strategi yang diberi dengan baik. Syabas dan tahniah kepada mereka,” ujar Sufian.

Ketua Jurulatih B-17 Malaysia , Muhammad Sufian Mohamad.

Menurutnya, kemampuan pasukan untuk menyempurnakan pukulan penalti juga menjadi faktor penting dalam mencapai kemenangan mutlak ini.

Berbekalkan kepercayaan penuh terhadap kemahiran individu pemain-pemainnya, Sufian memberi kebebasan kepada mereka untuk menerobos pertahanan Austria yang besar secara agresif, sambil mempamerkan skil tersendiri.

“Saya yakin pemain-pemain mampu mengatasi kekuatan fizikal Austria dengan penuh keyakinan. Mereka berjaya melaksanakan arahan untuk break pertahanan lawan, bertahan sebagai satu pasukan, dan menggunakan skil masing-masing dengan berani,” tambahnya.

Dengan kemenangan ini, skuad remaja negara berjaya mengesahkan tempat di separuh akhir.

Sufian kini bersiap sedia untuk mengkaji kekuatan lawan seterusnya bersama pasukan kejurulatihan, berusaha memastikan strategi yang tepat untuk perlawanan akan datang.

Analisis video akan menjadi langkah utama dalam persediaan ini, dengan harapan Malaysia Speedy mampu meneruskan rentak kemenangan mereka dalam merebut gelaran juara Piala Mirnawan 2024.