SKUAD berbasikal trek negara kini dalam mod serius, perburuan emas acara pecut berpasukan di Sukan Asia 2026 di Nagoya, yang menjadi misi utama.
‘The Pocket Rocketman’, Datuk Azizulhasni Awang, bakal menjadi pembuka laluan ke podium tertinggi itu, setelah skuad negara meraih gangsa di Jakarta 2018 dan perak di Hangzhou 2022.

Pengarah teknikal berbasikal kebangsaan, John Beasley, mengesahkan bahawa fokus Azizul kini tertumpu sepenuhnya kepada acara pecut berpasukan hingga temasya Asia itu berlangsung.

“Azizulhasni akan jadi pelumba pertama (starter) untuk pecut berpasukan di Kejohanan Dunia Santiago hujung Oktober nanti. Itu KPI utama beliau tahun ini,” kata Beasley.

Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Beasley.

“Saya yakin dia akan pantas… dia tahu tugasnya. Cuma sekarang, kita risau sama ada pelumba kedua dan ketiga kita mampu ikut rentak atau sebaliknya.”

Antara calon penggempur utama skuad pecut negara ialah Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis, Akmal Nazimi Jusena serta Shah Firdaus Sahrom, yang turut akan diberi peluang memburu tempat dalam pasukan yang menjadi medan ‘survival of the fittest’ demi satu matlamat: emas pertama dalam sejarah acara ini.

Malaysia sebelum ini lebih banyak memberi tumpuan kepada keirin dalam persiapan ke Olimpik lalu, namun dengan baki tiga tahun menuju Los Angeles 2028, Sukan Asia 2026 kini jadi medan ujian sebenar untuk skuad pecut berpasukan.

Cabaran pasti sengit – Jepun, China dan Korea Selatan dijangka tampil sebagai musuh utama. Namun, Beasley percaya keupayaan pelumba negara bukan calang-calang, terutamanya Shah yang dilihat masih punya potensi besar.