PERSATUAN Muay Thai Negeri Selangor kini sedang giat berusaha memperkasa serta memajukan bakat-bakat muda yang berpotensi dalam sukan muay thai di negeri ini.
Dengan kerjasama erat daripada Persatuan Muay Thai Malaysia, banyak peluang telah diberikan kepada atlet muda untuk mengembangkan bakat mereka hingga ke peringkat dunia.
“Terima kasih kepada Persatuan Muay Thai Malaysia kerana banyak memberi peluang kepada anak-anak muay thai di sini untuk melangkah lebih jauh sehingga ke tahap dunia,” ujar Penaung Persatuan Muay Thai Selangor, Md Farek Urek.

Md Farek juga memuji kepimpinan yang berdedikasi tinggi dalam memajukan sukan ini.
“Saya belum pernah bertemu presiden yang bertungkus-lumus memajukan Muay Thai Malaysia seperti dia kerana banyak yang telah dilakukan untuk memajukan sukan ini,” tambahnya.
Md Farek turut mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) yang sentiasa memberi sokongan serta inisiatif kepada atlet-atlet Muay Thai dan juga jurulatih yang terlibat.

Kem Muay Thai Negeri Selangor membawa pulang 1 pingat emas, 1 pingat perak dan 3 pingat gangsa menerusi acara kombat pada Sukma 2024 di Sarawak.
Md Farek juga yakin jika peluang terus diberikan, atlet-atlet Muay Thai Selangor akan memberikan prestasi terbaik pada Sukma dan acara lain yang akan datang.
“Insyaallah jika diberi peluang lagi, kami akan lakukan yang terbaik untuk Sukma akan datang. Memandangkan Sukma (Sukan Malaysia) tempoh hari kami pertama kali memperoleh pingat dalam sukan muaythai dan kami akan terus mengeluarkan atlet-atlet terbaik pada masa akan datang.”
Di samping itu, Persatuan Muay Thai Selangor bakal menganjurkan kejohanan pada 1 dan 2 November ini, dan Md Farek berharap semua kelab di Selangor akan menyokong dan menyertai mereka dalam usaha memperluas potensi bakat-bakat muda di Negeri Selangor.