PRESIDEN Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan mengesahkan pasukan Thailand tidak menyertai Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia pada 9 hingga 18 Mei ini.
Ia susulan pasukan sepak takraw Thailand terus berdiam diri tanpa sebarang respon mengenai pendaftaran terakhir pasukan pukul 5 petang, 31 Disember 2024.
Menurut Sumali, beliau sudah hilang sabar dengan sikap Thailand yang tidak memberi kerjasama baik.
“Sebulan setengah kita bagi masa kepada 16 negara yang dijemput. Semua negara boleh respon samada menyertai atau tidak sebelum tarikh tutup, kenapa Thailand senyap dan langsung tiada pengesahan?.
“Kita tidak akan kompromi dan kita menghormati kesungguhan semua negara memberikan maklum balas.
“Kita tidak pernah gagal menyertai Piala Raja Thai dan tidak pernah tidak mengikut peraturan terutamanya deadline yang diberikan. Kejohanan ini bukan pertandingan peringkat sekolah atau kampung.
“Cukuplah kita mengalah dan sabar,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Selepas tarikh tutup pada semalam (Selasa), sebanyak 13 pasukan mengesahkan diri untuk menyertai kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa, dengan menyaksikan edisi sulung kejohanan ini bakal menjadi rujukan untuk pelaksanaan sistem ranking pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.
Sebanyak empat acara akan dipertandingkan iaitu regu, berpasukan, beregu dan kuadran.