KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) HockAcademy, Sukhjit Singh menuntut beberapa jawapan daripada Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ditangguh, yang sepatutnya berlangsung 28 Disember lalu.

Menurut Sukhjit beberapa perkara menjadi tanda tanya berkaitan penangguhan AGM tersebut yang sepatutnya dibuat mengikut perlembagaan persatuan yang betul.

“AGM PHKL sepatutnya dibuat pada Mac 2024 dan ditangguh pada  Disember 2024, tetapi adakah penangguhan itu mendapat kelulusan daripada ahli majlis?

“Keduanya adakah ianya juga mendapat kebenaran bertulis mengenai penangguhan tersebut daripada Pesuruhjaya Sukan?

“Sepatutnya setiap notis mesyuarat memerlukan sekurang-kurangnya tempoh empat hari sebelum diadakan. Sebaliknya kami diberitahu pada pukul 2 petang untuk mesyuarat yang akan diadakan pukul 4 petang, 26 Disember. Kami juga dimaklumkan bahawa mesyuarat yang berlangsung secara ‘online’ dan ‘offline’ itu tidak cukup korum. Adakah ini sah kerana perlembagaan tidak menyokong mesyuarat secara online dan hanya bersemuka sahaja.

“Pada 27 Disember HockAcademy menerima notis penangguhan  AGM,” jelas Sukhjit.

Surat pemakluman kepada Pesuruhjaya Sukan berkaitan isu penangguhan AGM Persatuan Hoki Kuala Lumpur yang dianggap tidak sah.

Dalam pada itu, Sukhjit turut mempersoalkan mengenai laporan audit tahun lepas (2023) dan 2024.

“Adakah akaun tersebut mendapat kelulusan ahli majlis atau dikemukakan pada mesyuarat ahli majlis yang berlangsung 16 Disember sebelum mereka membuat keputusan melaksanakan AGM? Kalau tiada pembentangan, kenapa timbalan presiden, AJK atau bendahari tidak membangkitkannya? Semua membisu?

“Apabila ini berlaku, ia menampakkan lagi kelemahan persatuan yang gagal memberi penjelasan yang munasabah. Alasan mereka kerana belum mendapat pengesahan daripada ‘external auditor’. Kalau ada Syarikat (audit) luar yang menguruskan itu, siapakah mereka, berapa kos bayaran dan adakah ia mendapat kelulusan ahli majlis?

“Dan dalam perlembagaan (Klausa 14C), mengatakan hanya dua juruaudit dalaman, dan siapakah mereka?,” tambahnya.

Selain itu, Sukhjit menambah sehingga kini permintaan untuk mendapatkan senarai ahli gabungan belum diterima.

“Kami telah menghantar empat surat kepada mereka, namun hanya satu sahaja yang dijawab (berkenaan dengan penangguhan). Yang lain masih belum mendapat jawapan.

“Kesemua exco ini, adakah mereka membaca atau memahami perlembagaan Persatuan Hoki Kuala Lumpur?”, jelas Sukhjit

Berikutan situasi itu, Sukhjit turut memberitahu bahawa satu surat pemakluman telah dihantar kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan pada 30 Disember 2024.

Pada Khamis lalu, PHKL mengumumkan penundaan AGM berikutan belum menerima laporan daripada ‘external auditors’.