LEGENDA bola sepak Manchester United, David Beckham memulakan tahun baharu 2025 dengan penuh emosi apabila berkongsi satu hantaran menyentuh hati di Instagram miliknya pada Rabu.
Dalam hantaran tersebut, Beckham memberikan fokus kepada detik-detik istimewa bersama keluarganya serta kejayaan profesionalnya bersama Inter Miami, kelab bola sepak Major League Soccer (MLS).
Dalam beberapa keping gambar yang dimuat naik, Beckham berkongsi kenangan indah bersama isterinya, Victoria, dan empat anak mereka Brooklyn, Romeo, Cruz, dan Harper.
Gambar-gambar tersebut turut terselit satu foto penuh makna Beckham bersama bekas pengurus pasukan kebangsaan England, Sven-Goran Eriksson, yang telah meninggal dunia pada tahun 2024 akibat kanser.
“Selamat Tahun Baru dari saya, isteri saya, dan anak-anak kami yang luar biasa… Terima kasih atas tahun yang tidak dapat dilupakan, dan saya ingin mengucapkan selamat tahun baru yang bahagia dan penuh kesihatan kepada semua, David,” kata Beckham dengan penuh emosi menerusi akaun Instragram miliknya.
Sebagai pemilik bersama kelab Inter Miami, Beckham telah mempunyai banyak perkara untuk diraikan pada tahun 2024.
Kelab yang berpangkalan di Florida itu mencipta sejarah apabila memenangi Supporters’ Shield 2024, penghargaan yang diberikan kepada pasukan dengan rekod terbaik sepanjang musim biasa.
Kehadiran Lionel Messi bukan sahaja memperkukuhkan prestasi pasukan, malah meningkatkan profil global kelab tersebut, menjadikan visi Beckham untuk bola sepak Amerika Syarikat satu kenyataan.
Tahun 2024 juga menyaksikan kejayaan peribadi Beckham di luar padang seperti, Dokumentari Netflix mengenai kehidupan dan kerjayanya mendapat sambutan hangat, membolehkan peminat mendalami perjalanan uniknya dalam dunia bola sepak.
Sebagai tambahan, David Beckham, yang juga dikenali sebagai usahawan berjaya, telah memulakan legasinya dalam dunia bola sepak di Manchester United.
Menjadi graduan daripada sistem remaja terkenal kelab tersebut, meraih kejayaan luar biasa dengan enam gelaran Liga Perdana Inggeris, dua Piala FA, dan satu Liga Juara-Juara UEFA.
Tahun 2025 bermula dengan penuh makna buat Beckham, menyatukan kenangan bersama keluarga tersayang, penghormatan kepada rakan-rakan lama, dan kejayaan gemilang yang berterusan bersama Inter Miami.