KEHADIRAN semula Danial Amier Norhisham ke skuad kebangsaan selepas kali terakhir dipanggil pada 2019 menjadi antara tumpuan utama senarai 26 pemain Harimau Malaya yang diumumkan untuk Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024.

Pemain tengah Kuching City FC ini, pernah tampil dalam perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka dan Jordan di bawah kendalian Tan cheng Hoe, kini diberi kepercayaan oleh pengendali skuad untuk menyumbang pengalaman dan kemahiran dalam kejohanan tradisi ini.

Skuad Harimau Malaya kali ini menyaksikan gabungan pemain berpengalaman dan bakat muda yang berpotensi besar, termasuk lapan pemain bawah 23 tahun.

Antara nama-nama muda yang mencuri perhatian ialah Haqimi Azim Rosli, Fergus Tierney, Najmudin Akmal, Daryl Sham George, dan Muhammad Abu Khalil.

Tambahan pula, beberapa muka baharu seperti Jimmy Raymond dan Harith Samsuri turut diberi peluang untuk menunjukkan kemampuan di pentas antarabangsa.

Namun, pemilihan pasukan ini bukan tanpa cabaran. Dengan kejohanan berlangsung di luar Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA, kelab-kelab Liga Malaysia tetap meneruskan jadual perlawanan, menyukarkan pengurusan pemain.

Walaupun begitu, kerjasama daripada kelab-kelab tempatan dalam melepaskan pemain telah memainkan peranan besar dalam pembentukan skuad ini.

Kejohanan ini juga dilihat sebagai platform penting untuk memperluaskan kumpulan pemain yang layak mewakili Harimau Malaya di masa hadapan, terutamanya menjelang Kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadual bermula Mac tahun depan.

Malaysia akan membuka tirai Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 pada 8 Disember menentang Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh. Selepas itu, skuad akan kembali ke tanah air untuk perlawanan kedua menentang Timor-Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Disember, sebelum terbang ke Bangkok untuk menghadapi Thailand pada 14 Disember.

Perlawanan terakhir peringkat kumpulan pula akan menyaksikan Harimau Malaya menentang Singapura di Bukit Jalil pada 20 Disember.

Misi skuad negara jelas untuk memastikan tempat di separuh akhir dengan menamatkan peringkat kumpulan sebagai salah satu daripada dua pasukan teratas. Dengan purata umur pasukan 25.9 tahun, skuad kali ini menawarkan keseimbangan tenaga muda dan pengalaman.

Kali terakhir Daniel Amier bersama skuad Harimau Malaya ketika tewas 0-1 dalam perlawanan persahabatan menentang Jordan di bawah kendalian Tan cheng Hoe pada tahun 2019.

Untuk Danial Amier, panggilan kali ini bukan sekadar peluang untuk menyarung jersi kebangsaan, tetapi juga untuk membuktikan kemampuannya selepas sekian lama tidak berada dalam radar Harimau Malaya.