Oleh: MOHD FARIQ

DALAM kalangan peminat dan orang dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sendiri, pelantikan Kim Pan-gon yang disahkan pada Januari 2022 menimbulkan pelbagai persoalan.

Ketika FAM digegarkan dengan kecaman dari pelbagai sudut susulan prestasi mengaibkan di Piala AFF Suzuki 2020 pada Disember 2021, pelantikan orang luar yang tidak memahami budaya tempatan dilihat sebagai satu risiko besar.

Secara dalaman juga, krisis ditangani oleh dua timbalan presiden FAM mengundang kritikan. Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram dipaksa berfikir menangani lambakan ‘troll’ di media sosial mengecam FAM, khususnya Mohd Yusoff yang juga pengurus pasukan kebangsaan.

Apabila antara syor panel bebas bedah siasat turut mencadangkan peranan pengurus pasukan dikaji semula, Mohd Yusoff antara mangsa dikorbankan. Ia menunjukkan bahawa FAM berani mengambil keputusan drastik untuk mengubah wajah pengurusan pasukan.

Pan-gon dilantik sebagai ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan. Bagaimanapun, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, bekas ahli jawatankuasa eksekutif FAM yang juga ahli Lembaga Pengurusan MFL, kekal selaku penolong pengurus pasukan.

Kamarul yang pernah memegang jawatan pengurus pasukan PDRM, dilihat sebagai jambatan di antara Harimau Malaya dengan pucuk pimpinan serta pengurusan FAM, manakala jabatan pasukan kebangsaan dirombak.

Disenangi kerana sifatnya yang pemurah, Kamarul dengan segera menjalankan tugasnya termasuk mengambil semua jurulatih di lapangan terbang dan membantu FAM mencari rumah yang sesuai buat kesemua mereka.

Kamarul juga menjadi individu pertama yang diminta bantuan oleh Pan-gon untuk sebarang permintaan atau isu berbangkit.

Melihat kemudahan gimnasium di FAM tidak memadai, Pan-gon meminta berpuluh basikal statik untuk disediakan di hotel penginapan. Ini atas permintaan jurulatih kecergasan, Dr Gokhan Kandemir. Beli atau sewa bukan masalah Pan-gon.

Tidak semua permintaan Pan-gon ditunaikan. Ada ketikanya Pan-gon menjerit kepada kakitangan yang sekadar menyampaikan keputusan bahawa hanya satu dapat disediakan, bukan dua atau tiga peralatan mengikut permintaannya.

Kamarul juga memastikan arahan Pangon agar unit pemasaran FAM menyediakan sepanduk gegantung di sekitar hotel penginapan yang bertujuan menyuntik kata-kata semangat kepada pemain disediakan segera. Lewat beberapa hari akan mengundang kemarahan Pan-gon.

Selain memastikan Pan-gon dibantu sedaya boleh, Kamarul juga pandai mengambil hati pemain dan kakitangan FAM yang terbabit secara langsung dengan pasukan. Hadiah kasut serta baju serta lain-lain bukanlah rahsia dalam kalangan anggota pasukan kebangsaan.

Sumbangan Mohd Yusoff tidak boleh dinafikan juga. Seorang yang bijak membaca perwatakan orang, Mohd Yusoff mencadangkan Brendan Gan untuk disenaraikan semula pada pra-kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Kuala Lumpur pada 2019.

Brendan membalas kepercayaan Tan Cheng Hoe dengan menjadi tonggak yang menewaskan Thailand dan Indonesia serta tewas tipis kepada UAE dan Vietnam sepanjang laluan menduduki tangga kedua dalam kumpulan, detik kemuncak prestasi pasukan kebangsaan yang menggayakan bola sepak cara Malaysia – iaitu menguasai dan menyimpan bola dengan proses transisi berteraskan umpanan dan hantaran dari benteng ke serangan.

Mohd Yusoff juga sudah membisikkan kepada pucuk pimpinan FAM bahawa pasukan kebangsaan di bawah Cheng Hoe sudah mencapai tahap tepu di UAE pda 2021.

Namun Mohd Yusoff terpaksa dikorbankan kerana logiknya, jika ketua jurulatih sudah meletak jawatan sekembali daripada misi Piala AFF Suzuki 2020, pengurus pasukan juga kena beri laluan untuk FAM bawa perubahan.

Sama ada Mohd Yusoff atau Kamarul yang memainkan peranan mewakili pengurusan, ia menunjukkan kebijaksanaan Datuk Hamidin Mohd Amin selaku presiden untuk menyusun barisan pengurusan pasukan kebangsaan mengikut kekuatan masing-masing.

Kisah-kisah dalaman inilah yang mewarnai pencapaian pasukan kebangsaan sehingga mara ke pusingan akhir Piala Asia AFC 2023. Siapa jadi hos akan ditentukan Oktober nanti.

Siapa lawan kita tidak penting. Yang penting Malaysia berada dalam kelompok 24 negara terbaik Asia bersaing di sana nanti.

Kita sedang menyambut era baharu bola sepak negara. Teruskan lagi usaha-usaha anda FAM.