PENYERANG skuad Harimau Malaya, Darren Lok tetap berazam memburu gol walaupun sedar bakal disekat benteng Bahrain pada aksi kedua Kumpulan E, Piala Asia 2023.

Ketumpulan bahagian serangan menjadi penyebab Malaysia memulakan kempen langkah kiri termasuk menyaksikan barisan pertahanan negara melepaskan empat gol.

“Sudah tentu sentiasa mahu dan menjaringkan gol serta melakukan yang terbaik untuk Malaysia itu. Itulah tugas saya untuk menjaringkan gol, jadi saya akan pergi dan memberikan keputusan terbaik saya.

“Kami tahu ia bukan perlawanan yang mudah. Bahrain adalah lawan yang kuat, kedudukan setara dengan Jordan. Jadi, kami perlu membetulkan perkara yang salah ketika menentang Jordan dan memberikan prestasi yang lebih baik kepada penyokong,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hotel penginapan dekat Doha, Qatar pada Khamis.

Untuk rekod, Indra Putra Mahayuddin muncul pemain terakhir negara yang menjaringkan gol di Piala Asia semasa edisi 2007 ketika bergelar tuan rumah bersama.

Mengulas lanjut, tonggak utama Sabah FC itu tidak pasti adakah corak permainan sama bakal diterapkan Kim Pan-gon menjelang pertemuan dengan Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad, Sabtu ini.

Menurut Darren yang mengutip 31 kaps bersama skuad Harimau Malaya, dirinya sentiasa bersedia sekiranya diturunkan dalam kesebelasan utama dan bermain mengikut arahan taktikal.

“Itu terpulang kepada jurulatih dan dengan taktik yang diputuskan. Tetapi sebagai pemain, kita semua tahu peranan kita secara individu dan apa yang perlu kita lakukan. Jadi ia adalah tentang mengikut apa yang jurulatih mahu kita lakukan.

“Sudah tentu setiap kali anda pergi ke sana dan mewakili negara anda, anda perlu memberi 100 peratus. Inilah bola sepak.

“Kadang-kadang ia menjadi dan kadang-kadang bertukar malang, tidak berjalan seperti yang dirancang, tetapi kami bekerja keras untuk memperbaikinya.

“Kami bersedia dengan baik untuk berdepan Bahrain,” katanya yang berdarah warisan Malaysia – England.

Misi hidup mati Malaysia kini di tangan pemain negara dalam misi menghidupkan semula laluan ke Pusingan 16 terbaik Piala Asia 2023.

Untuk rekod, Malaysia merupakan negara dari rantau Asia Tenggara yang belum menjaringkan sebarang gol selepas dibedal Jordan dalam kejohanan kali ini.