BEKAS Ketua Jurulatih Perak FC Datuk Lim Teong Kim membuat representasi berkenaan pemecatan yang tidak sah oleh Perak FC pada 24 Mei lalu.

Jurulatih berusia 59 tahun itu hadir ke Jabatan Perhubungan Perusahaan Ipoh bersama peguamnya Adam Yap pada Selasa.

Menurut Adam, kehadiran ke Jabatan Perhubungan Perusahaan untuk membuat representasi kepada jabatan tersebut di atas perkara penamatan kontrak pra matang.

“Beliau (Teong Kim) ditamatkan kontrak serta merta 24 Mei, yang merupakan penamatan kontrak pra matang kerana kontrak sebenar selama dua tahun. Hanya lapan bulan ia ditamatkan serta merta.

“Kami berpendapat ia merupakan pembuangan kerja yang tidak sah dan tidak adil. Hari ini Datuk ada hak undang-undang untuk membuat representasi atas aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan.

Teong Kim bersama peguamnnya, Adam (kiri)

“Tugas jabatan ini akan menghubungi Perak FC sebagai badan pendamai. Tengoklah kalau mereka ada mencapai kata putus, ianya akan berakhirlah. Tetapi kalau kedua pihak tak capai pendamaian, maka akan dirujuk kepada Mahkamah Perusahaan.

“Tujuan beliau datang ke sini bukan urusan peribadi, tetapi hanya untuk menuntut apa yang dalam kontrak, iaitu apa-apa gaji yang termaktub yang belum dibayar,” jelasnya kepada media.

Sementara itu, Teong Kim berkata beliau mahu meninggalkan Perak FC dengan cara yang baik.

“Saya datang ke Perak FC dengan baik dan nak tinggalkan Perak FC dengan cara yang baik. Tiada niat yang jahat. I am a sportsman; I behave like a sportsman. That’s all.

“Saya fikir ini bukan kerana saya sahaja  saya tiada ego, saya terima banyak pencapaian dalam karier bola sepak, jadi ini adalah (dipecat) sebahagian daripada bola sepak. Ia normal. Ada jurulatih yang lakukan baik di Bayern Munich, jurulatih Chelsea pun kena pecat. Jadi ianya tiada apa-apa,” katanya.

Sebagai rekod, Teong Kim yang juga merupakan bekas Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (2013) dan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (2016) dilantik secara rasmi sebagai pengendali Perak FC dengan kontrak dua tahun pada September 2022.