KONTINJEN Malaysia menggegarkan pentas serantau apabila muncul juara keseluruhan Sukan SEA Pekak 2025 di Jakarta selepas menutup tirai kejohanan dengan kutipan bersejarah 25 pingat emas, sekali gus menghadiahkan detik penuh kebanggaan menjelang sambutan Hari Kebangsaan, 31 Ogos ini.
Kejayaan luar biasa ini melonjakkan Malaysia sebagai kuasa besar baharu sukan pekak Asia Tenggara, jauh mengatasi pencapaian edisi sulung di Kuala Lumpur pada 2022 yang menyaksikan hanya 15 emas diraih. Ia juga menepati serta membalas kepercayaan rakyat dan kerajaan selepas sokongan dana RM3 juta bagi persiapan ke kejohanan antarabangsa utama termasuk Deaflympics November nanti.
Aksi cemerlang pada hari terakhir menjadi kemuncak segalanya apabila acara catur kembali menjadi lubuk emas. Ainur Ashikin Jupineh, 16, mencuri tumpuan dengan kejuaraan Blitz Wanita untuk menghadiahkan emas ke-22, manakala rakan sepasukan Loo Pin Xie menambah emas ke-23 selepas menundukkan pencabar tuan rumah.

Mixed Rapid berjaya sumbang emas buat Malaysia di SEA Deaf Games 2025.
“Saya amat gembira dapat menyumbang kemenangan untuk Malaysia. Pengalaman ini sangat bermakna dan saya belajar banyak daripada rakan sepasukan sepanjang kejohanan,” kata Ainur Ashikin penuh semangat.
Momentum itu diteruskan di gelanggang boling apabila Ho Choon Seong menjuarai Masters Lelaki dengan 1,795 jatuhan pin, sebelum Siw Sing Hie menutup kempen negara dengan penuh gemilang melalui kemenangan di Masters Wanita dengan 1,491 jatuhan pin – melengkapkan emas ke-25 buat Malaysia.

Emas Bowling Beregu Lelaki & Wanita! Aksi bergaya beregu lelaki & wanita Malaysia di lorong pertandingan berjaya menghadiahkan pingat emas buat negara.
Secara keseluruhan, emas Malaysia hadir menerusi Olahraga (10), Boling (8), Catur (5) dan Badminton (2), manakala skuad futsal lelaki dan wanita masing-masing menambah dua perak untuk melengkapkan pencapaian berpasukan.
Mengakhiri temasya dengan pungutan 25 emas, 16 perak dan 11 gangsa, Malaysia bukan sahaja melangkaui sasaran awal 16 emas, malah hampir menggandakan kutipan edisi lalu, menjadikan kempen Jakarta 2025 sebagai titik tolak baharu buat perkembangan sukan pekak tanah air.
Upacara penutupan malam ini menutup tirai penuh bermakna – meninggalkan legasi gemilang buat kontinjen negara serta inspirasi buat seluruh rakyat Malaysia yang kini menyambut satu lagi kejayaan di pentas antarabangsa.