LEGENDA bola sepak Manchester United, David Beckham, membuat kunjungan ke rumah resepsionis kesayangan kelab itu, Kath Phipps, dua minggu sebelum wanita berusia 85 tahun itu meninggal dunia.
Kath, yang berkhidmat di Old Trafford selama 56 tahun, merupakan individu yang dihormati ramai di kalangan pemain, kakitangan, dan peminat.
Beckham, berkongsi detik manis mereka di Instagram, bersama gambar memegang tangan Kath, mengenang jasanya yang begitu bermakna sepanjang kariernya di kelab tersebut.
“Saya berpindah ke Manchester pada usia 15 tahun, dan Kath berjanji kepada ibu dan ayah saya, Saya akan jaga anak lelaki anda, jangan risau.
“Dari hari pertama saya di sini sehingga hari terakhir saya bersamanya, itulah yang dia lakukan.
“Old Trafford tidak akan sama lagi tanpa senyumannya setiap kali kami melalui pintu itu. Kami semua sayangkan anda,” kata Beckham yang dipetik daripada Instagram miliknya.
Kath dikenang sebagai individu yang penuh dedikasi dan dihormati di Manchester United.
![](https://www.flashsukan.com.my/wp-content/uploads/2024/12/ab7be23309a37ae415f4c32d97e7f357Y29udGVudHNlYXJjaGFwaSwxNzE4NjE3OTgw-2.2052463-1000x666.jpg)
David Beckham mula bermain untuk pasukan utama Manchester United pada usia 17 tahun.
Selepas pemergian Kath diumumkan pada Khamis lalu, bekas bintang Manchester United, Wayne Rooney, menyifatkan Kath sebagai “jiwa dan raga” kelab itu.
Manakala Rio Ferdinand, rakan sepasukannya, berkata Kath adalah seorang yang “luar biasa tidak mementingkan diri sendiri”.
Wanita hebat itu mula bertugas sebagai operator telefon di Old Trafford pada tahun 1960-an sebelum menjadi resepsionis di pusat latihan Carrington.
Pemergian Kath bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada Beckham, tetapi juga kepada seluruh komuniti Manchester United.
Detik emosional ini menjadi bukti hubungan istimewa yang terbina di luar padang antara pemain dan staf kelab.