LEGENDA bola sepak Brazil, Roberto Carlos, dilaporkan terpaksa tinggal di pusat latihan Real Madrid selepas berpisah dengan isterinya, Mariana Luccon.

Menurut laporan Estadio Deportivo yang dipetik oleh beIN Sports, bekas pemain Real Madrid itu sedang menghadapi proses perceraian dengan Luccon, yang merupakan isteri ketujuhnya. Situasi ini menyebabkan Carlos menumpang sementara di tempat latihan bekas kelabnya.

“Bekas pemain Real Madrid dikatakan tinggal di kemudahan sukan (Real Madrid) ketika proses perpisahan dengan Mariana Luccon,” lapor beIN Sports.

Carlos dan Luccon telah berkahwin sejak 2009, namun perkahwinan mereka berakhir selepas 15 tahun hidup bersama. Perceraian ini memaksa Carlos membayar pampasan sebanyak 166 juta euro atau sekitar RM2.7 bilion.

“Proses perceraian ini turut memberikan hak kepada Luccon untuk tinggal di rumah utama mereka, manakala Carlos sementara waktu berpindah ke tempat latihan Real Madrid di Ciudad Deportiva,” tambah laporan itu.

Kehidupan peribadi Roberto Carlos sememangnya penuh warna-warni. Dia pernah mengakui mempunyai 11 anak hasil hubungan dengan tujuh wanita berbeza.

Anak-anak Roberto Carlos kini menetap di pelbagai tempat, termasuk Brazil dan Eropah.

“Saya mempunyai tujuh anak di Brazil, satu di Mexico, dan selebihnya di Hungary,” kata Carlos.

Menurut laporan La Gazzetta dello Sport, kekayaan bekas pemain Real Madrid dan Inter Milan itu dianggarkan bernilai 160 juta USD atau sekitar RM2.5 bilion.