PEMINAT bola sepak di Malaysia kini boleh bersorak gembira apabila TV Sarawak (TVS) mengumumkan akan menyiarkan perlawanan-perlawanan Piala Carabao 2024/25 secara percuma, satu langkah yang bakal mengubah pengalaman menonton bola sepak Inggeris di negara ini.

Bermula dari peringkat suku akhir sehingga final, peminat boleh menyaksikan pasukan-pasukan gergasi seperti Liverpool, Manchester United, Arsenal, dan Tottenham Hotspur beraksi menerusi saluran digital TVS atau secara dalam talian.

Pengumuman ini menjadikan TVS sebagai platform eksklusif yang menawarkan akses percuma kepada kejohanan bola sepak Inggeris berprestij, sesuatu yang jarang dilakukan oleh penyiar lain di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Kushairi Abang, berkata langkah ini bukan sahaja membuktikan komitmen TVS terhadap kandungan sukan premium tetapi juga meraikan minat mendalam rakyat Malaysia terhadap bola sepak.

“Buat pertama kalinya, TVS menerjah pasaran antarabangsa dengan membawakan Piala Carabao kepada rakyat Malaysia secara percuma.

“Kami mahu semua lapisan masyarakat menikmati keseronokan bola sepak Inggeris tanpa halangan,” katanya.

Sebagai tambahan, TVS akan menyediakan segmen analisis pra dan pasca perlawanan yang menampilkan pakar bola sepak tempatan.

Segmen ini dijangka meningkatkan lagi pengalaman menonton kira-kira tujuh juta peminat bola sepak di seluruh negara.

Arsenal antara kelab popular rakyat Malaysia.

Dengan kehadiran pasukan-pasukan ternama seperti Arsenal, Newcastle United, dan Crystal Palace di peringkat suku akhir, serta reputasi Piala Carabao sebagai salah satu kejohanan paling dinantikan, inisiatif ini bakal menjadikan TVS sebagai platform utama untuk peminat bola sepak Malaysia dan ASEAN.

Ini bukan kali pertama TVS menunjukkan kesungguhan mereka dalam menyokong bola sepak. Sebelum ini, mereka telah menjadi penyiar rasmi SUKMA Sarawak 2024 dan Jelajah Harimau Malaya.

Usaha ini mengukuhkan lagi kedudukan TVS sebagai penyiar tempatan yang berjaya menawarkan pengalaman sukan bertaraf dunia secara meluas dan percuma.