Cape Verde’s defender #22 Steven Moreira (L) and Spain’s defender #12 Pedro Porro (R) fight for the ball during the 2026 World Cup Group H football match between Spain and Cape Verde at the Atlanta Stadium in Atlanta on June 15, 2026. (Photo by ROBERTO SCHMIDT / AFP)

Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente enggan melihat keputusan seri tanpa jaringan menentang Cape Verde sebagai sesuatu yang membimbangkan meskipun pasukannya gagal memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan kemenangan.

Pengendali berusia 64 tahun itu menegaskan rekod cemerlang yang dimiliki Sepanyol sejak beberapa tahun lalu membuktikan pasukannya masih berada di landasan tepat untuk mencabar kejuaraan.

Menurutnya, keputusan tersebut lebih berpunca daripada kegagalan memanfaatkan peluang berbanding kelemahan dari segi permainan keseluruhan.

“Pasukan yang mencatat lebih 30 perlawanan tanpa kalah tidak sepatutnya mempunyai sebarang keraguan.

“Penyelesaiannya adalah terus berpegang kepada pendekatan sama dan terus memperbaiki permainan. Kami mencipta banyak peluang, tetapi kurang ketajaman yang diperlukan dalam perlawanan seperti ini,” katanya.

Dalam aksi pembukaan Kumpulan H itu, Sepanyol menguasai sebahagian besar permainan dan mencipta beberapa peluang terbaik, namun gagal menembusi benteng pertahanan Cape Verde yang beraksi dengan disiplin tinggi.

De la Fuente mengakui pasukannya tidak mempamerkan kelancaran biasa di bahagian serangan, namun tetap berpuas hati dengan jumlah peluang yang berjaya dihasilkan.

“Kami kurang pergerakan dan kesegaran, tetapi kadangkala bola memang enggan masuk ke gawang.

“Kami mempunyai percubaan, peluang dan keinginan untuk mendapatkan gol awal. Namun kami tahu bukan mudah untuk menang dalam kejohanan ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan keputusan merehatkan Lamine Yamal dan Nico Williams daripada kesebelasan utama dibuat bagi memastikan kedua-dua pemain itu kembali cergas sepenuhnya selepas pulih daripada kecederaan hamstring.

Kedua-duanya dimasukkan pada babak kedua bagi menambah ancaman di bahagian serangan, namun masih gagal membantu Sepanyol mencari gol kemenangan.

“Matlamat kami adalah membawa mereka kembali secara berperingkat dan memberi minit permainan.

“Saya yakin mereka akan terus meningkat pada perlawanan seterusnya dan selepas itu,” katanya.

Sepanyol kini perlu bangkit dalam aksi kedua kumpulan menentang Arab Saudi bagi mengukuhkan peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati.