KEDAH Darul Aman (KDA) FC menghidupkan peluang kekal bersaing dalam kancah Piala AFC 2022 selepas mencipta kemenangan sensasi 4-1 mengatasi Kaya FC saingan kedua Kumpulan G di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar di Bali, Indonesia malam ini.

Beberapa perubahan taktikal dilakukan KDA FC dengan Azammuddin Akil berada dalam kesebelasan utama bersama Roland Ngah Wanja di bahagian hadapan.

Kedah yang turun dengan misi wajib menang bermula cemerlang apabila nyaris mendapatkan gol awal tetapi tolakan Syazwan Zainon m-2 tersasar sebelah kanan Kaya FC.

Penguasaan bola jelas milik KDA FC yang mendominasi perlawanan sebanyak 60 peratus berbanding pasukan lawan.

Sebanyak empat percubaan dilepaskan pemain Aidil Sharin Sahak ke arah gawang wakil Filipina di babak pertama namun kesemuanya tidak berhasil menewaskan Kammeraad.

Bersambung babak kedua, lima pertukaran pemain, Fayadh Zulkifli, Fadzrul Danel, Asnan Ahmad, Amirul dan Al- Hafiz Harun dibawa masuk bagi memastikan corak permainan lebih segar dan bertenaga.

Serangan kilat Kaya FC hampir menghukum Sang Kenari mujur rembatan padu Lopez Mendy menggegar gawang KDA 53′.

Akhirnya, kebuntuan jaringan berjaya dipecahkan oleh pemain gantian, Fayadh yang mudah menolak masuk hantaran lintang Ngah Wanja 56′.

Bagaikan mendapat tonik baharu, Kedah kembali menggandakan asakan dan jaringan kedua tercetus menerusi gerakan larian lincah Ngah Wanja yang bijak melorongkan kepada Mahmoud Al-Mardi 62′.

Wanja, penyerang asal Cameroon turut mencatat nama selaku penjaring dengan ledakan gol yang membanggakan 81′. Kaya mendapat jaringan sagu hati menerusi Javier Gayoso pada penghujung babak permainan sebelum Fayadh memastikan kemenangan bergaya pada gol masa tambahan.

KDA FC akan melengkapkan saingan terakhir kumpulan bertemu wakil Kemboja, Visakha pada Khamis yang gah mengutip enam mata setakat ini.

Pencapaian terbaik kelab dari utara itu di pentas Asia adalah mara ke suku akhir pada tahun 2008 semasa di bawah kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah.

Sementara itu, tuan rumah Bali United berputih mata apabila kalah mengejut 5-2 kepada Visakha dalam aksi yang berlangsung di sebelah petang.

Irfan Jaya membuka tirai jaringan m-9 namun pesta kegembiraan tidak lama selepas Paulo Victor 17’ menyamakan kedudukan disusuli sepakan percuma Ouk Sovann di penghujung babak pertama.

Empat lagi gol dihasilkan oleh Lee Jae-gun 55’, Paulo Victor 63’ sebelum Bali cuba bangkit dapatkan gol semangat melalui Privat Mbarga 85′ tetapi sudah terlewat apabila Sovann menolak bola ke dalam gawang dua minit sebelum permainan berakhir.