PERTAHANAN import Selangor FC , Kevin Deeromram mengakui kekecewaan sukar digambarkan apabila impian The Red Giants membawa pulang kemenangan sulung di bumi Thailand lebur hanya kerana kelalaian pada saat-saat akhir.

Aksi penuh disiplin yang ditampilkan skuad kendalian Katsuhito Kinoshi seakan-akan sudah cukup untuk menundukkan Buriram United apabila Selangor mendahului menerusi jaringan penyerang Brazil, Chrigor Moraes pada minit ke-38 hasil gerakan kemas Nooa Laine.

Namun, detik duka itu hadir ketika masa kecederaan apabila Peter Zulj menanduk bola dari sepakan penjuru yang akhirnya menembusi kubu kebal Selangor sekali gus menafikan tiga mata penuh buat wakil Malaysia itu.


“Saya sangat bangga dengan rakan sepasukan. Kami bermain dengan sangat baik sehingga kami dibolosi pada minit akhir permainan. Ia sangat tidak bernasib baik. Saya tidak gembira dengannya,” kata Deeromram selepas tamat perlawanan.

Keputusan seri 1-1 itu menyaksikan Selangor pulang dengan satu mata dalam aksi sulung Kumpulan A Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Shopee Cup semalam, sebelum menantikan pertemuan getir menentang Tampines Rovers pada 24 September depan.