MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) berhasrat untuk memakaikan alat pengesan di tangan atlet-atlet atau kontinjen negara, yang akan beraksi di pentas Paralimpik Paris 2024.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin menegaskan bahawa inisiatif tersebut bertujuan untuk memastikan keselamatan atlet dan pegawai, susulan kawasan perkampungan atlet di Paris yang difahamkan tidak memperketatkan undang-undang dan keselamatannya.
Namun, cadangan oleh pihak MPM itu masih tergantung sehingga mendapat kelulusan pada mesyuarat pendaftaran pra delegasi di Paris pada Jun ini selepas dibentangkan pada mesyuarat Majlis Paralimpik Asia (APC) di Beijing, Mac lalu.
“Saya akan ke Paris dahulu Jun ini, untuk dapatkan kepastian mengenai tahap keselamatan mereka sekarang berada di mana, ‘Top 5’ atau sebagainya.
“Jadi perancangan itu masih ada kerana Paris adapah sebuah kawasan yang agak berlainan dari tempat lain. Kawasan perkampungan atlet itu adalah seperti kawasan ‘grey area’. Tetapi itu yang saya nak pastikan dahulu.

Majlis Tandatangan MoU bersama Malaysian Deaf Sports Association (MSDEAF) dan Special Olympics Malaysia (SOM)
“Jadi buat masa ini, syarikat yang kita akan bekerjasama itu saya tak akan maklumkan lagi kerana kita akan tengok status keselamatan di sana dahulu.
“Jika tahap keselamatan di sana tinggi, mungkin kita hanya sarankan atlet supaya tidak keluar berjalan-jalan selepas habis acara masing-masing untuk menjaga keselamatan,” ujar Megat D. Shahriman ketika ditemui selepas Majlis Tandatangan MoU bersama Malaysian Deaf Sports Association (MSDEAF) dan Special Olympics Malaysia (SOM) pada Jumaat.
Sementara itu, kerjasama antara MPM, MSDEAF dan SOM adalah bertujuan untuk membina hubungan yang lebih baik sekali gus dapat bersama mencari pembiayaan yang mencukupi dan berterusan dari kerajaan untuk menyokong semua inisiatif.
Tambah Megat, “Oleh kerana ketiga-tiga badan ini berkait rapat dalam usaha ke arah sukan untuk masyarakat kurang upaya, kami kini mempunyai persefahaman dan akan membangunkan rancangan strategik untuk mencapai hasil daripada kerajaan dan organisasi kami.”