SYARIKAT insurans am terkemuka di Asia dan peneraju insurans bukan hayat di ASEAN, MSIG, mengukuhkan kehadirannya dalam dunia bola sepak dengan menjadi Rakan Insurans Rasmi kepada ASEAN United FC.

Kejohanan ini merangkumi empat acara utama bola sepak serantau, iaitu Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, Kelab Kejuaraan Piala Shopee ASEAN, Kejuaraan Wanita ASEAN, dan Kejuaraan Bawah 23 Tahun ASEAN.

Perkongsian strategik ini dimeterai melalui SPORTFIVE, sebuah agensi pemasaran sukan global, dan dirancang untuk meningkatkan nilai bola sepak ASEAN sambil memberi impak positif kepada komuniti serantau.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MSIG Asia, Clemens Philippi, bola sepak bukan sekadar satu permainan kerana ia memberi inspirasi kepada semangat berpasukan, daya tahan, dan mengejar kecemerlangan serta kualiti yang sangat dihargai di MSIG.

“Melalui perkongsian ini, kami ingin meraikan semangat sukan sambil memperkasakan komuniti di seluruh ASEAN untuk mencapai matlamat mereka,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mejar Jeneral Khiev Sameth Foto Kredit : VNE Express


Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF), Mejar Jeneral Khiev Sameth, turut menzahirkan penghargaan atas komitmen MSIG.

“Kami berbesar hati mengalu-alukan ahli keluarga terbaharu kami, MSIG, sebuah syarikat yang berkongsi nilai-nilai bola sepak ASEAN dan mengamalkan semangat perpaduan,” ujarnya.

Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh sokongan kepada acara sukan utama tetapi juga menjadi langkah strategik untuk MSIG memperluaskan jenamanya di rantau yang sedang pesat membangun.

“Empat acara terkemuka ASEAN di bawah platform ASEAN United FC akan meletakkan MSIG dengan kukuh di tengah-tengah bola sepak ASEAN dan peminatnya yang terdiri daripada ratusan juta peminat yang ghairah,” tambah Presiden dan Pengerusi Lembaga Pengarah SPORTFIVE, Seamus O’Brien.

Sebagai ahli MS&AD Insurance Group Holdings Inc., MSIG menawarkan pelbagai solusi insurans peribadi dan komersial. Dengan kehadiran di 48 negara dan wilayah, MSIG adalah antara penyedia insurans bukan hayat terbesar dunia berdasarkan hasil pendapatan kasar.