FRAIDDEN Dawan memulakan mencetus emas pertama buat kontinjen negara di Temasya Sukan Para Asean (APG) 2023, di Kemboja apabila memenangi acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki S10, dalam saingan di Pusat Akuatik Morodok Techo.
Perenang dari Bintulu, Sarawak itu bukan sekadar menghadiahkan emas pertama malah mempertahankan pingat dimenanginya di APG 2022 yang berlangsung di Solo, Indonesia.

Fraidden Dawan sumbang emas pertama buat kontinjen APG negara di Kemboja.
“Pingat ini besar maknanya buat saya dan negara. Saya mendedikasikan kejayaan ini buat keluarga yang banyak memberi sokongan dan menjadi pemangkin semangat serta mendorong saya selama ini.
“Mereka banyak memberikan motivasi dan hasilnya saya berjaya mempertahankan kejuaraan ini buat negara,” katanya.

Fraidden Dawan pertahankan pingat emas acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki S10, di Pusat Akuatik Morodok Techo, Phnom Penh./Pix MSN
Fraidden berjaya menewaskan pemenang pingat perak dari Indonesia, Tangkilisan Steven Sualang yang merakam masa 5:12.82s dan perenang Vietnam, Van Vinh Quach di tempat ketiga dengan catatan 5:23.30s.
Kem renang para terus menuai emas demi emas melalui kejayaan Adib Iqbal Abdullah dalam acara 100m kuak dada lelaki SB14 dan Abd Halim Mohamad menerusi kategori 100m kuak dada lelaki SB8.

Pix MSN
Perenang wanita, Carmen Lim turut menyumbang emas, apabila memenangi acara 100m kuak dada wanita SB8.
Carmen mencatat masa 1:41.32s mencatat rekod baharu temasya dan peribadi, menewaskan perenang Thailand, Chaiwong Peakaithip (perak) dan Thi My Le dari Vietnam (gangsa).

Padu… kuakan Carmen Lim membutirkan emas dan rekod baharu kejohanan dalam acara 100m kuak dada wanita SB8./Pix MSN
Turut cemerlang ialah perenang, Rusdianto Rusmani apabila berjaya meraih pingat perak 400m gaya bebas lelaki S8 selain atlet olahraga para, Noor Imanina Idris yang meraih tempat kedua acara lontar peluru F20.