PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memberikan sokongan penuh kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam usaha memperkukuh ekosistem sukan negara.
“Saya akan terus pantau dan menyokong MOM ini serta organisasi sukan selagi mereka menjaga tadbir urus dan memastikan manfaat sampai kepada atlet, khususnya golongan muda,” katanya, ketika merasmikan majlis pecah tanah projek Olympic House di Bukit Jalil, hari ini.
Beliau turut menyambut baik pembinaan pusat pentadbiran baharu itu sambil berseloroh, “Inilah kali pertama Majlis Sukan tidak minta duit daripada saya sebagai Menteri Kewangan… satu kelegaan!”

Menurut Anwar, pembinaan Olympic House bukan sahaja penting untuk sukan, tetapi juga memberi nilai kepada budaya, alam sekitar, tenaga alternatif dan kelestarian jangka panjang negara.
Perdana Menteri turut memuji kepemimpinan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (Presiden MOM)dan pasukannya yang berjaya merealisasikan projek itu dengan komitmen tinggi dan semangat luar biasa.
“Saya telah bincang dengan Menteri (Belia dan Sukan) Hannah Yeoh untuk melihat semula keperluan sekolah sukan, apa sahaja diperlukan, kita bantu, pastikan mutu ditingkatkan dan kemudahan disediakan,” katanya.
Anwar juga menegaskan bahawa pembangunan sukan perlu seiring dengan semangat perpaduan nasional dan penglibatan rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Beliau turut mengingatkan pihak pemaju, MRCB, supaya menyiapkan pembinaan lebih awal daripada jadual kerana projek ini adalah simbol penting kepada masa depan sukan negara.