Kredit Gambar: Roberto Schmidt/AFP
LEGENDA bola sepak Uruguay, Diego Forlan sah kembali berbakti kepada negaranya apabila dilantik sebagai ketua jurulatih interim skuad kebangsaan selepas Persatuan Bolasepak Uruguay (AUF) mengesahkan pelantikan bekas penyerang itu.
Forlan mengambil alih tugas daripada Marcelo Bielsa yang melepaskan jawatan susulan kegagalan Uruguay melepasi peringkat kumpulan Piala Dunia, sekali gus menamatkan kempen mengecewakan juara dunia dua kali itu.
Dalam kenyataan ringkas, AUF mengumumkan bahawa Forlan akan mengendalikan skuad senior dan juga pasukan bawah 20 tahun negara.
“Diego Forlan pulang ke tanah air untuk mengendalikan pasukan bawah 20 tahun dan skuad kebangsaan senior.”
Menurut laporan AFP, pelantikan bekas pemenang Bola Emas Piala Dunia 2010 itu dimuktamadkan selepas beberapa minggu rundingan.
Forlan, 47, akan memulakan tugas sebagai jurulatih interim bagi mengharungi aksi persahabatan antarabangsa pada September, Oktober dan Mac, namun kontraknya turut membuka ruang untuk disambung sekiranya beliau berjaya menunjukkan prestasi memberangsangkan.
Uruguay kini berusaha bangkit selepas tersingkir seawal peringkat kumpulan buat kali kedua berturut-turut di Piala Dunia. Keputusan seri berturut-turut menentang Arab Saudi dan Cape Verde sebelum tewas kepada juara akhirnya, Sepanyol, menyaksikan Bielsa menerima kritikan hebat sebelum mengundurkan diri.
Walaupun dikenali sebagai antara penyerang terbaik pernah dimiliki Uruguay, pengalaman Forlan dalam bidang kejurulatihan masih terhad. Beliau memulakan karier sebagai jurulatih bersama Penarol pada 2020, namun hanya bertahan 11 perlawanan sebelum meninggalkan kelab itu.
Setahun kemudian, Forlan mengendalikan Atenas dalam divisyen kedua Uruguay selama 12 perlawanan, yang menjadi satu-satunya pengalaman lain beliau sebagai ketua jurulatih di peringkat kelab.
Namun, reputasinya sebagai pemain cukup dihormati di Uruguay. Forlan menjaringkan 36 gol dalam 112 penampilan antarabangsa, termasuk lima gol ketika membantu negaranya mara ke separuh akhir Piala Dunia 2010 sebelum dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan.
Beliau juga memainkan peranan penting bersama Luis Suarez ketika Uruguay muncul juara Copa America 2011.
Di peringkat kelab, Forlan mencipta nama bersama Villarreal dan Atletico Madrid, selain memenangi Anugerah Kasut Emas Eropah bersama kedua-dua kelab Sepanyol itu. Sebelum itu, beliau turut pernah beraksi bersama Manchester United dan membantu kelab Inggeris tersebut menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris musim 2002-03.
Kini, bekas penyerang prolifik itu diberikan tanggungjawab mengembalikan semula kegemilangan Uruguay ketika pasukan berkenaan memulakan fasa baharu di bawah kepimpinannya.