PENCALONAN dalam kategori Penyerang Terbaik Liga M Awards 2025-26 menjadi bukti kebangkitan Safawi Rasid selepas mengharungi musim mencabar untuk kembali berada di tahap terbaik musim lalu.

Edisi 2024-25 dicalonkan bagi Kategori Pemain Tengah Terbaik, musim 2025-26 Safawi terus membuktikan kualitinya selaku penyerang bersama Kuala Lumpur City FC untuk berada dalam kelompok 3 terbaik bagi merebut trofi itu bersaing dengan Ramadhan Saifullah (Kuching City FC) dan Faisal Abdul Halim (Selangor FC).

Bagi pemain yang kini berhijrah ke Kuching City FC, setiap pencalonan yang diterima tetap membawa makna tersendiri kerana ia menjadi tanda bahawa segala usaha dan pengorbanannya sepanjang musim mendapat perhatian.

Nyata, edisi 2019 menjadi musim terbaik apabila Safawi meraih gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali kedua selain Pemain Tengah Terbaik musim 2020 di mana kejayaan itu merupakan edisi terakhir dia dinobatkan sebagai pemenang.

“Setiap kali tercalon tak kira dalam apa jua kategori, semua itu cukup bermakna buat saya sebab ini menunjukkan hasil kerja keras saya untuk setiap musim dan apa pun, saya bersyukur atas pencalonan ini. Yang penting saya dapat lihat orang terdekat saya gembira.

“Saya rasa saya sudah beri segalanya dalam padang dan pencalonan ini memang berbaloi dengan usaha keras saya selama ini. Bagi saya, walaupun dah lama tak menang apa-apa anugerah, tapi tiada karier yang tidak mencabar dan Alhamdulillah saya hadap segala cabaran dengan tenang dan terus bekerja keras.

“Saya rasa calon lain (Ramadhan & Faisal) memang ada kelebihan tersendiri untuk menyinar musim ini dan memang beri persaingan sengit kepada kategori ini,”katanya.

Selain tercalon untuk kategori Penyerang Terbaik, Safawi turut dinobatkan selaku Penjaring Terbanyak Pemain Tempatan musim 2025-26 selepas cemerlang meraih 13 gol dalam aksi Liga Super bersama Kuala Lumpur musim lalu.

Berbanding musim 2024-25 dengan 7 gol di pentas Liga, pemain kelahiran Terengganu ini berjaya mencuri tumpuan apabila meledak 13 gol di mana kali terakhir dia meraih Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Super) adalah pada edisi 2019 ketika bersama Johor Darul Ta’zim dengan 8 gol.

“Daripada aspek permainan yang dah makin berkembang, saya rasa tahap keyakinan saya yang semakin meningkat dalam sesuatu permainan bantu saya untuk beraksi dengan lebih baik.

“Tak kira apa pun kelainan atau skil yang mungkin jarang saya buat atas padang, saya cuba tak putus asa untuk terus lakukan agar dapat capai rasa puas hati itu. Menang atau kalah adat pertandingan tapi sekurang-kurangnya kita puas dengan usaha kita sebab kita dah bagi segalanya dan perkara seperti itu yang selalu buat saya tenang dan lebih matang untuk hadap”, tambahnya.