Kredit Gambar: FB Leeds United
Leeds United terus memperkukuhkan skuad menjelang musim baharu Liga Perdana Inggeris apabila mengesahkan ketibaan penjaga gol England, James Trafford dari Manchester City dengan kontrak selama lima tahun.
Walaupun nilai perpindahan tidak didedahkan secara rasmi, laporan media Britain menyebut Leeds membayar kira-kira £40 juta (RM220 juta), sekali gus menjadikan urus niaga itu sebagai rekod pembelian baharu kelab. Nilai tersebut turut meletakkan Trafford sebagai penjaga gol Britain termahal dalam sejarah.
Penjaga gol berusia 23 tahun itu meluahkan keterujaannya selepas melengkapkan perpindahan dan kini tidak sabar memulakan cabaran bersama kelab baharunya.
“Saya tahu kemampuan diri saya. Saya sentiasa turun bermain dan memberikan yang terbaik sambil menikmati setiap detik di atas padang.
“Saya benar-benar teruja dan gembira kerana semuanya akhirnya selesai. Kini saya boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan musim baharu dan menyertai rakan sepasukan minggu depan,” katanya.
Trafford merupakan produk akademi Manchester City sebelum mengumpul pengalaman secara pinjaman bersama Accrington Stanley dan Bolton Wanderers.
Beliau berhijrah secara tetap ke Burnley pada 2023 sebelum dibawa pulang semula oleh City pada Julai tahun lalu.
Bagaimanapun, peluang beraksi secara konsisten di Stadium Etihad agak terhad apabila Gianluigi Donnarumma menjadi pilihan utama pengurus Pep Guardiola. Trafford hanya sempat membuat 17 penampilan dalam semua pertandingan sepanjang musim lalu.
Trafford turut berada dalam radar skuad kebangsaan England apabila disenaraikan oleh Thomas Tuchel ke Piala Dunia tahun ini.
Kehadirannya menjadikan beliau pemain ketiga yang dibawa masuk Leeds secara tetap pada jendela perpindahan kali ini selepas Harry Wilson dan Tarik Muharemovic, sekali gus memperlihatkan kesungguhan pengurus Daniel Farke memperkukuhkan pasukan.
Leeds yang menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu di tangga ke-14 akan membuka kempen baharu dengan menentang Nottingham Forest pada 22 Ogos nanti.