TULAR tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tanah air apabila pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon memanggil pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohamadou Sumareh untuk mengikuti kem latihan pusat bermula Jumaat.
Namun, ketua jurulatih dari Korea itu tidak menganggap pengambilan Sumareh dalam skuad utamanya menjadi satu perkara negatif mahupun ancaman besar buat Harimau Malaya.
Menurut Pan Gon, nilai semangat berpasukan yang tinggi, komitmen pada latihan, kesetiaan, dan tahap pengorbanan itu merupakan unsur utama yang menjadi panduan buat pihaknya memanggil seseorang pemain ke kem latihan pusat.
“Saya tahu ramai lagi pemain yang baik di luar sana tetapi dengan berat hati kami telah memilih 25 pemain ini oleh sebab-sebab tertentu antaranya juga dari segi taktikal.
“Untuk setiap kem latihat pusat kami menginginkan pemain yang terbaik dan saya berharap para penyokong dan pihak media dapat memahami keputusan yang telah saya buat.
“Saya percaya mengikut pada perancangan permainan, kami telah memilih pemain yang terbaik untuk diletakkan dalam skuad Harimau Malaya menjelang pusingan kedua aksi kelayakan Piala Dunia 2026,” ujarnya semasa hari pertama sesi latihan rasmi di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya.
Sementara itu, Pan Gon juga menekankan bahawa peminat bola sepak di luar perlu menghormati setiap pemain terutama Sumareh kerana dia juga berusaha lakukan yang terbaik untuk pasukan dan setiap manusia pernah membuat silap.
“Saya tidak gemar sikap yang tidak menghormati pemain yang sudah berjuang untuk negara dan saya juga tidak boleh mengulas dengan lebih kenapa saya memilih sesorang itu kerana ia mengambil masa mungkin dua jam untuk bercerita kenapa saya pilih kesemua 25 orang pemain,” tambahnya.