PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) tampil mempertahankan tujuh pemain warisan Harimau Malaya selepas FIFA menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan mengekalkan hukuman penggantungan selama 12 bulan ke atas mereka.
Menerusi hantaran di Instagram Story, baginda menegaskan bahawa badan induk bola sepak dunia itu telah salah menggunakan Artikel 22 dalam Kod Tatatertib FIFA, dengan menyatakan bahawa artikel tersebut sepatutnya hanya digunakan terhadap individu yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu — sesuatu yang menurutnya tidak berlaku kepada para pemain terbabit.
“FIFA terus menghukum para pemain dengan salah guna undang-undang. Artikel 22 hanya membenarkan hukuman kepada mereka yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu, dan perkara itu tidak terpakai kepada pemain,” titah baginda.
TMJ turut mendakwa keputusan itu kelihatan bermotifkan politik dan tidak berdasarkan undang-undang semata-mata. “Hukuman ini nampak lebih kepada keputusan yang bermotifkan politik, bukan kerana undang-undang,” tambah baginda.

Screenshot
Baginda dalam masa sama menegaskan bahawa baginda tidak akan berpaling daripada perjuangan membela pemain-pemain tersebut, malah akan terus berdiri bersama mereka sehingga ke peringkat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk bersuara, tetapi saya memilih untuk terus berdiri dan menyokong perjuangan pemain sampai ke penghujungnya — iaitu di CAS, sebuah badan bebas,” titah TMJ.
Kenyataan tegas TMJ itu hadir sehari selepas FIFA Appeal Committee menolak rayuan FAM dan mengekalkan semua hukuman sedia ada, termasuk denda CHF350,000 kepada FAM serta penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain terbabit.
TAMAT