PRESIDEN Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), Datuk Radha Krishnan menegaskan kejohanan yang bakal disertai atlet Dodgeball kebangsaan kali ini mempunyai makna yang sangat simbolik.

Ia berikutan usianya yang sudah menjangkau umur 65 tahun, sama dengan sambutan kemerdekaan tahun ini juga buat kali ke-65. Oleh itu, beliau ingin kem negara menghadiahkan emas sempena bulan kemerdekaan tahun ini.

Beliau yakin, Malaysia mampu memberi cabaran yang sengit dan penyertaan satu pasukan dalam kategori campuran buat pertama kali ke kejohanan dunia diharapkan mampu mempamerkan aksi yang sama seperti pasukan wanita dan lelaki yang sebelum ini turut cemerlang.

Dana RM55.000 yang disumbangkan oleh Better Malaysia Foundation(BMF) kepada Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD).

Meskipun sedar cabaran getir bakal ditempuhi atlet kebangsaan, namun beliau yakin pasukan kebangsaan telah bersedia menggegar bumi Kanada.

“Kita akan menyambut bulan kemerdekaan ke-65. Sukan ini telah berkembang dengan maju. Kita mahu kejohanan kali ini sangat istimewa bagi kami kerana kami menghantar tiga wakil tahun ini.

“Kita mahu mereka bawa pulang tiga emas. Saya rasa satu memang pasti tetapi lagi dua diharapkan ianya berjaya.

Baju yang diserahkan kepada Ti Lian Ker sempena merasmikan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Dodgeball Malaysia.

“Kita mahu negara berbangga dengan kejayaan mereka sempena kemerdekaan negara ke-65.

“Pencabar adalah dari Mexico, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan dua negara Eropah lain tetapi cabaran paling getir adalah tidak boleh disangkal lagi iaitu dari Amerika Syarikat,” jelasnya semasa sidang media Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Dodgeball kebangsaan yang diadakan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya.

Sementara itu, Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz kini membantu mencurah khidmatnya dalam pasukan Dodgeball kebangsaan disebabkan komitmen yang dipersembahkan pasukan tersebut adalah pada tahap yang sangat mengimpikan kejayaan buat negara.

Dalam pada itu, beliau akan menambah lebih lagi program jangka masa panjang dalam aspek sains sukan dari segi ketahanan fizikal dan mental bagi kejohanan akan datang.

“Secara umumnya, atlet memang telah berada pada tahap yang bagus. Mereka harus ada keinginan untuk menang lebih dari kita, kalau kita sahaja beria hendak menang, kalau mereka tidak serius sangat susah.

“Mereka adalah organisasi dan pasukan yang serius. Kita telah kenalpasti itu dan kita hargai usaha mereka itu.

Sesi penyerahan Jalur Gemilang kontinjen Dodgeball Malaysia.

“Kita bantu dalam masa yang singkat, selepas ini dalam masa akan datang kita merangka program jangka masa panjang untuk kebaikan sukan ini,” ujar Ramlan.

Sebagai rekod, kontinjen Dodgeball kebangsaan berjaya meraih emas (wanita) pada Kejohanan Dunia edisi 2016 di Melbourne, emas (lelaki dan wanita) 2017 di Toronto, emas ( lelaki) 2018 di Los Angeles dan perak (lelaki dan wanita) 2019 di Mexico.

Uniknya pada edisi kali ini, kontinjen kebangsaan membuat pertaruhan apabila menghantar pasukan bagi kategori campuran buat pertama kali dan tetap mengharapkan emas meskipun tiada pengalaman yang luas di peringkat antarabangsa.