RAGBI Malaysia (MR) melaungkan amaran awal kepada pencabar di Thailand, apabila Presidennya, Amir Amri mengesahkan “rempuhan” emas lelaki dan gangsa wanita di Sukan SEA Bangkok 2025.
Amir menegaskan skuad lelaki yang pernah menggenggam emas Kuala Lumpur 2017 kembali dengan misi jelas, biarpun Thailand, Singapura dan Filipina hadir dengan persiapan padu serta pemain warisan.

Skuad wanita pula dibina untuk menembusi dominasi trio gergasi Asia, Thailand, Filipina dan Singapura dengan sasaran minimum gangsa.
“Bagi pasukan lelaki, jika kita lihat siri terakhir (Kelayakan Kejohanan Ragbi Lelaki Asia) di Colombo, Sri Lanka baru-baru ini, Thailand tampil sangat mantap dari segi persiapan dan persembahan. Filipina pula sudah memanggil semula semua pemain warisan mereka, sekali gus menambah cabaran buat skuad negara dalam memburu emas.
“Kita akan menyediakan insentif kemenangan sekiranya pemain ragbi negara mencapai sasaran pingat,” kata Amir pada sidang media selepas penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad ragbi negara ke Sukan SEA di Sungai Buloh.

Skuad ragbi wanita memburu pingat gangsa di Bangkok.
Suntikan keyakinan bertambah apabila penaja utama, Hong Leong Yamaha Malaysia mengakui mereka yakin dengan perburuan emas kali ini.
Pengarah Urusan HLYM, Profesor Datuk Dr. Jim Khor Mun Wei percaya prestasi skuad ragbi negara akan membuka pintu untuk kerjasama jangka panjang dan memberi bayangan penajaan lebih besar menjelang Sukan SEA 2027 di Malaysia.