SKUAD dodgeball lelaki negara untuk merampas semula gelaran juara dunia muncul juara Kejohanan Dodgeball Dunia 2022, di Kanada pada Isnin.

Perlawanan akhir yang berlangsung di Pusat Sukan Komuniti Saville, Edmonton itu, menyaksikan skuad negara cemerlang menewaskan Australia, 5-3 sekali gus meraih gelaran juara dunia ketiga mereka sejak 2017.

Khabar gembira dari Kanada itu, menjadi satu lagi hadiah sempena bulan kemerdekaan negara dari dunia sukan, selepas beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul juara dunia kira-kira 2 minggu lalu.

Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), Datuk Radhakrishnan berkata, kejayaan skuad dodgeball lelaki itu, amat membanggakan.

“Ini satu penghormatan besar buat Malaysia yang baru sahaja menyambut Hari Kemerdekaan ke-65 dan akan menyambut Hari Malaysia tidak lama lagi.

“Pada kejohanan terakhir 2019, kita muncul naib juara. Jadi, sebagai Presiden MAD, saya berbangga dengan pencapaian pasukan,” katanya, dalam satu kenyataan.

Tambah Radhakrishnan, pasukan negara akan menerima ganjaran khas sebagai tanda penghargaan buat mereka selain turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjadi tulang belakang buat skuad negara.

“Pasukan akan diberi ganjaran sewajarnya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih negara atas kecemerlangan dalam mempersiap pasukan ini.

“Terima kasih juga kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Institut Sukan Negara (ISN), Berjaya Corporation, Black Box dan semua penaja lain yang memberi sokongan kepada kami,” katanya.

Sementara itu, pasukan campuran negara meraih pingat perak selepas tewas kepada pasukan tuan rumah, Kanada 3-7 dalam saingan akhir.

Untuk rekod, Malaysia pernah muncul juara bagi kategori lelaki dan wanita pada edisi 2017 di Toronto, Kanada dan skuad lelaki berjaya mengulangi kejayaan sama pada edisi 2018 di Los Angeles sebelum kedua-dua pasukan muncul naib juara pada edisi berikutnya di Cancun, Mexico pada 2019.