SKUAD bola jaring negara berjaya layak ke pusingan kedua selepas menang selesa ke atas Chinese Taipei 82-25 dalam aksi peringkat Kumpulan C Kejohanan Bola Jaring Asia 2022 di OCBC Arena, Singapura.
Selepas membelasah Brunei pada perlawanan pertama, Malaysia meneruskan rentak cemerlang dengan pengendali, Lisa Ann Beehaq banyak menurunkan pemain junior untuk babak pertama perlawanan ini.
Dua penjaring muda negara, Putri Intan Balqis dan Khairunnisa Nazri membuktikan pemilihan mereka berbaloi dalam skuad kali ini apabila menampilkan aksi mantap dalam memberikan mata buat Malaysia sebelum An Najwa Azizan kembali pada suku ketiga dan keempat.

Putri Intan Balqis
Kemenangan ini meletakkan Malaysia di tangga teratas kumpulan dan akan bertemu tiga lagi juara kumpulan dalam pusingan kedua bagi menentukan tempat ke separuh akhir dengan dua tempat terbaik layak ke Piala Dunia Bola Jaring 2023 di Cape Town.
Turut gembira dengan kejayaan ini adalah kapten pasukan Selangor Angels, Yati Akhtar yang melihat pusingan kedua nanti adalah ujian sebenar buat skuad negara apabila bakal berhadapan jaguh bola jaring Asia.

Yati Akhtar
“Alhamdulillah seperti yang dijangka, pusingan pertama agak mudah untuk pasukan Malaysia. Jurulatih juga dilihat telah mencuba beberapa kombinasi pemain untuk mencari tujuh pemain terbaik untuk menentang gergasi-gergasi Asia di pusingan kedua nanti terutamanya Sri Lanka dan Singapura.
“Kedua-dua pasukan itu adalah finalis pada kejohanan yang lalu dan cabaran sebenarnya bermula sekarang dan sasaran kita sudah semestinya mahu memperbaiki ranking terkini iaitu di tangga ketiga Asia,” kata bekas pemain kebangsaan dari 2006 hingga 2011 ini ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Malaysia kini akan berhadapan juara bertahan, Sri Lanka esok sebelum menentang Hong Kong pada 7 September dan Singapura pada 8 September untuk menentukan tempat ke separuh akhir dan semakin berpeluang ke Piala Dunia.