PERSATUAN Bola Keranjang Selangor meletakkan sasaran berani untuk menyapu bersih empat pingat emas acara bola keranjang pada Sukan Malaysia 2026 yang akan berlangsung di Selangor.

Presidennya, Sunny San Chyi Her berkata, sasaran itu realistik berdasarkan pembangunan sistematik yang sedang dilaksanakan termasuk penganjuran liga pembangunan di peringkat negeri.

Menurutnya, pelaksanaan Liga Bola Keranjang Selangor khususnya kategori bawah 20 tahun (B-20) memberi platform berterusan kepada pemain muda untuk terus bersaing selepas peringkat remaja.

MoU antara Persatuan Bola Keranjang Selangor yang diwakili Presidennya Sunny San Chyi Her (depan kanan), manakala Under Armour diwakili Pengarah Komersil Under Armour Malaysia, Samantha Lim (depan kiri).

“Kami memperkenalkan format ‘home and away’ supaya pemain mempunyai lebih banyak perlawanan kompetitif dan dapat terus mengasah bakat mereka,” katanya.

Beliau berkata usaha pembangunan itu turut diperkuatkan dengan peningkatan kemudahan di Dewan Bukit Tinggi hasil peruntukan RM1 juta daripada kerajaan negeri.

Menurutnya, dewan berkenaan kini dilengkapi sistem pendingin hawa baharu, pencahayaan profesional serta kemudahan tempat duduk yang lebih baik sebagai persediaan menjadi venue kejohanan kebangsaan.

Sebelum ini, bola keranjang Selangor mencatat keputusan memberangsangkan kejohanan kebangsaan bawah 15 tahum (B-15) apabila pasukan lelaki 3 lawan 3 (3×3) lelaki muncul juara dan naib juara 5×5. Skuad wanita muncul juara bagi kedua-dua kategori 3×3 dan 5×5.

Sunny turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik termasuk Under Armour yang menaja kasut dan beg sukan kepada pasukan negeri bawah 15 dan bawah 17 tahun.

“Kami mahu memastikan pemain muda Selangor dilengkapi kemudahan terbaik supaya mereka mampu merealisasikan impian untuk membawa pulang emas kepada negeri pada SUKMA nanti,” katanya.