SETAHUN sudah berlalu sejak skuad paralimpik negara membawa pulang dua emas, dua perak dan satu gangsa dari Paris, namun janji habuan yang ditabur didakwa masih belum ditunaikan.

Kekecewaan itu diluahkan jaguh badminton para, Cheah Liek Hou apabila memuat naik hantaran di Instagram Story miliknya semalam.

“Dah setahun Sukan Paralimpik Paris berlalu tapi habuan dijanji tak dapat lagi, masa nak result semua janji manis tapi lepas menang pingat mana janji Majlis Paralimpik Malaysia (MPM)?” katanya.

Ketika dihubungi Flash Sukan, pemenang emas badminton SU5 itu mengakui kecewa kerana habuan yang dijanjikan belum ditunaikan walaupun pernah dibangkitkan sejak April lalu.

Untuk rekod, sebelum ke Paris, MPM mengumumkan pemenang emas bakal menerima RM60,000 namun sehingga kini Liek Hou hanya menerima RM10,000 daripada penaja kerusi urut selepas hantaran kontroversinya pada April.

“Kalau RM10,000 itu sebahagian daripada janji RM60,000, mana baki RM50,000 lagi, malah pihak MPM langsung tak jelaskan,” katanya lagi penuh kesal.

Untuk rekod, Liek Hou dan Bonnie Bunyau Gustin menjadi penyumbang dia pingat emas negara di Paralimpik Paris.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin ketika dihubungi memberitahu, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan pada minggu hadapan.