Atlet kecergasan negara, Jey Prabakaran Thevar atau lebih dikenali sebagai Dr. KJEY, bersedia mengharungi cabaran terbesar dalam kariernya apabila menyasarkan rekod dunia ketiga menerusi cabaran 18 jam kardio dan angkat berat tanpa henti.
Atlet berusia 29 tahun dari Kuala Lipis, Pahang itu bukan nama asing dalam arena kecergasan ekstrem selepas sebelum ini mencipta dua rekod dunia menerusi cabaran 12 jam dan 15 jam kardio serta angkat berat tanpa henti.
Selain itu, beliau turut mencipta rekod Asia bagi kategori 13 jam kardio dan angkat berat tanpa henti serta memecahkan tiga rekod kebangsaan sempena Hari Sukan Negara.
Pencapaian tersebut meletakkan Dr. KJEY sebagai antara atlet endurance paling menyerlah di negara ini dalam disiplin yang menuntut ketahanan fizikal dan mental pada tahap tertinggi.
Bagaimanapun, kejayaan yang diraih sebelum ini tidak membuatkan beliau berpuas hati apabila kini mengalihkan fokus kepada sasaran yang lebih mencabar iaitu melengkapkan 18 jam kardio dan angkat berat tanpa henti.

Bagi memastikan impian itu menjadi kenyataan, Dr. KJEY menjalani program latihan intensif selama tiga bulan bermula April dengan jadual yang padat membabitkan dua sesi latihan setiap hari merangkumi kardio dan angkat berat.
Beliau turut menjalani latihan enam hari seminggu di samping mengamalkan pelan pemakanan yang ketat bagi memastikan tahap kecergasan sentiasa berada pada prestasi terbaik.
Sebagai sebahagian daripada persediaan, beliau juga akan menyertai tiga acara utama secara berturut-turut sepanjang tahun ini yang memberi tumpuan kepada cabaran kardio dan angkat berat tanpa henti.
Di sebalik kejayaan yang diraih, Dr. KJEY menerima bimbingan jurulatih, Mohd Shazwan Mohd Luthfi Ismail yang memainkan peranan penting dalam kejayaannya mencipta rekod dunia sebelum ini pada 2023 dan 2024.
Malah, komitmennya terhadap sukan itu turut dibuktikan menerusi transformasi fizikal yang menyaksikan beliau berjaya menurunkan berat badan sebanyak 35 kilogram bagi memastikan prestasi berada pada tahap optimum.
Dr. KJEY turut menghargai sokongan yang diberikan keluarga, rakan-rakan serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang dalam membantu merealisasikan cita-citanya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Dengan persiapan rapi dan semangat juang tinggi, beliau kini berharap mampu sekali lagi mencipta sejarah, sekali gus membuktikan kemampuan atlet Malaysia untuk bersaing dan mencatat kejayaan di peringkat dunia menerusi sukan kecergasan ekstrem.