ISTERI Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail percaya kontinjen Para Malaysia mampu untuk terus bersinar di Sukan Paralimpik Paris 2024 selepas mempamerkan keputusan cemerlang di Sukan Para Asia 2022 yang baru melabuhkan tirainya di Hangzhou.
Beliau yang ditemui ketika majlis sambutan wira dan wirawati negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mengakui gembira dengan pencapaian ditunjukkan oleh atlet para negara yang melupakan kekurangan mereka demi berjuang mengharumkan nama negara.
“Atlet-atlet ini tidak peduli akan kekurangan mereka dan berjuang menampilkan satu pencapaian yang bagus untuk naikkan nama Malaysia dan itu adalah satu kebanggaan dan kita doakan mereka terus sihat untuk terus beraksi.
“Jika mereka mempunyai tekad dan berusaha serta sokongan yang diberikan oleh kementerian berwajib, ianya sudah tentu akan membantu mereka beraksi cemerlang di Sukan Paralimpik Paris 2024 dan yang penting kita berikan mereka sokongan dan semangat,” katanya.
Sementara itu, Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh juga turut berbangga dengan pencapaian ini dan bersedia untuk memberikan apa sahaja bentuk sokongan yang diperlukan atlet untuk kejayaan mereka di temasya sukan mendatang.
“Kementerian Belia Dan Sukan serta Majlis Sukan Negara benar-benar berbangga dengan usaha kontinjen kita dan berharap mereka akan terus cemerlang dalam latihan dan sukan yang akan datang dan pihak kami akan terus berikan apa-apa sokongan yang diperlukan untuk memperkasakan mereka lagi,” jelasnya.
Kontinjen Para negara disambut sebagai wira apabila berjaya mengatasi sasaran 35 pingat dengan membawa pulang 39 pingat keseluruhan — tujuh emas, 15 perak dan 17 gangsa pada temasya Para Asia kali keempat itu.