Kredit Gambar: Malaysia Sport
Kuartet 4×200 meter (m) gaya bebas lelaki Malaysia menutup saingan Sukan Asia dengan catatan membanggakan apabila berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dalam aksi final di Pusat Akuatik Tokyo, hari ini.
Gandingan Khiew Hoe Yan, Ananda Lim, Jaydan Tan dan Arvin Shaun Singh Chahal mencatat masa 7 minit 18.79 saat (s) untuk menamatkan perlumbaan di tempat kelima keseluruhan.
Catatan itu menyaksikan kuartet negara memperbaiki rekod kebangsaan terdahulu iaitu 7:19.50s, sekali gus mencipta tanda aras baharu bagi acara berkenaan.
Malaysia sebelum ini terlebih dahulu menempah tiket ke final selepas merekodkan masa 7:22.05s dalam pusingan saringan.
Dalam Saringan 2, kuartet negara menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang China yang mencatat 7:11.70s dan Jepun dengan masa 7:13.02s.
Pada aksi final, China tampil cemerlang apabila bukan sahaja meraih pingat emas, malah memecahkan rekod Asia menerusi catatan 7:00.17s.
Catatan tersebut mengatasi rekod Asia terdahulu 7:00.91s, manakala Jepun membawa pulang pingat perak selepas merekodkan 7:01.05s.
Korea Selatan pula melengkapkan podium dengan pingat gangsa menerusi catatan 7:06.76s.
Biarpun gagal menempatkan diri di podium, pencapaian kuartet negara tetap signifikan apabila mereka berjaya meninggalkan Sukan Asia dengan rekod kebangsaan baharu dalam acara 4x200m gaya bebas lelaki.