HASRAT skuad sepak takraw negara menempah pertemuan dengan Thailand di Piala Raja Thai, tercapai apabila melangkah ke final kejohanan edisi ke-36.
Skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun, melangkah ke final selepas mengalahkan India di separuh akhir 21-19, 21-13.
Skuad negara dibarisi Muhammad Syahir Rosdi sebagai tekong bergandingan dengan perejam Khairol Zaman Hamir Akbar serta apit kiri, Amirul Zazwan Amir meneruskan kecemerlangan di kejohanan kali ini.
Menanti Malaysia di final petang esok ialah tuan rumah, Thailand selepas juara bertahan itu berjaya mengalahkan Myanmar 21-9, 21-9 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Thailand mara ke separuh akhir selepas muncul juara Kumpulan A termasuk dibantu dengan kemenangan percuma ke atas Brunei.
Sementara itu, hasrat regu wanita untuk ke separuh akhir tidak kesampaian apabila tumpas di tangan Korea Selatan 15-21, 15-21.
Piala Raja Thai edisi lalu menyaksikan skuad negara membawa pulang satu pingat emas menerusi acara double (regu dua sepasukan), dan dua gangsa yang hadir menerusi acara regu dan regu berpasukan.