BAHANG saingan Kejohanan Olahraga Asia 2023 masih panas dan kemampuan dipamer Thailand ketika memenangi pingat emas acara  4×100 meter (m) lelaki cukup memukau, sekali gus menerbitkan rasa tidak mustahil untuk pelari kita melakukannya.

Thailand bukan hanya mempamerkan larian bertenaga ketika mencipta rekod baharu kejohanan 38.55s, malah segala-galanya kelihatan lancar buat kuartet negara Gajah Perang itu.

Jika dilihat catatan masa terbaik dimiliki setiap pelari Thailand, hanya pelari terakhir Puripol Boonson mempunyai kepantasan setanding Muhammad Azeem Fahmi, 10.09s yang dilakukannya di Kejohanan Remaja Dunia, Cali, Columbia tahun lalu.

Catatan terbaik tiga lagi pelari lebih perlahan berbanding Khairul Hafiz Jantan mahupun Jonathan Nyepa.

Namun, apakah faktor penentu kejayaan satu kuartet itu?

Menurut bekas pemegang rekod kebangsaan 100m, Watson Nyambek, aspek pertukaran baton amat penting, dan kuartet yang telah dirancang hendaklah sentiasa menjalani latihan bersama.

“Tidak boleh berlatih sendiri-sendiri dalam acara relay ini, tak akan dapat keserasian dan akan timbul kurangnya kerjasama,” kata Watson, 47, yang pernah memenangi pingat perak 100m Kejohanan Olahraga Asia di Fukuoka, Jepun, pada 1998.

Aksi Watson Nyambek pada zaman kegemilangannya.

Menurutnya, catatan masa terpantas peribadi adalah satu bonus dalam acara larian berganti-ganti, namun kerjasama adalah kuncinya.

“Acara 4x100m ni perlu ada seorang ketua… selain jurulatih, dia akan sentiasa bermesyuarat, berbincang pelari mana yang mahu mengambil peranan apa, meneliti kemahiran setiap rakan.

“Selain itu, pemilihan pelari pertama hingga terakhir juga kritikal. Pelari pertama hendaklah seseorang yang mempunyai masa reaksi kepada tembakan yang pantas.

“Pelari kedua pula hendaklah memiliki ketahanan kelajuan berpanjangan (speed endurance), ketiga pelari yang mempunyai teknik larian di selekoh yang baik manakala pelari terakhir, hendaklah diletakkan pelari yang mampu mengekalkan kelajuan yang sudah ditetapkan tiga pelari pertama.”

Teknik menyerahkan baton membantu kelancaran kuartet mencatat masa yang baik.

Pemasaan yang tepat ketika menerima baton, memudahkan langkah pelari berikutnya untuk memecut.

Watson berkata, pada zaman kegemilangannya, beliau menjadi pelari pertama kerana memiliki reaksi kepada tembakan yang cepat, Nazmizan Mohamad kedua, Azmi Ibrahim ketiga manakala R Ganeswaran menjadi pelari terakhir.

Jika beliau diberi pilihan menentukan kedudukan pelari negara, Watson berkata, dia akan meletakkan Muhammad Thaqif sebagai pelari pertama, dan Khairul Hafiz ketiga, manakala kedudukan Jonathan dan Azeem, kedua-duanya sesuai sebagai pelari kedua dan keempat kerana mempunyai ketahanan larian.

Sementara itu, Nazmizan pula berpendapat pelari ketiga memainkan peranan paling penting dalam kuartet 4x100m.

Nazmizan Muhammad (kiri) ketika beraksi di Sukan Sea.

Baginya, pelari ketiga hendaklah individu yang mempunyai kelajuan kedua terpantas dalam kuartet terbabit kerana pelari ketiga menjadi penentu untuk menukar situasi dalam perlumbaan, sebelum baton diserah kepada anchor.

“Pendapat saya, jika diberi pilihan saya akan menurunkan Thaqif sebagai orang baharu dalam kuartet ini sebagai pelari pertama kerana dia tidak perlu memikirkan terlalu banyak tanggungjawab.

“Apabila dia diletakkan sebagai pelari ketiga, Thaqif perlu memikirkan dua tanggungjawab menerima dan memberi baton dengan baik, namun saya pasti coach Poad (Mohd Poad Md Kasim) sudah mencuba peranan setiap pelari dalam latihan,” katanya.

Pada temasya Sukan Asia Hangzhou nanti, kuartet 4x100m lelaki akan dibarisi Muhammad Azeem Fahmi, Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Arsyad Md Saat dan Muhammad Zulfiqar Ismail selain mengharapkan Muhammad Haiqal Hanafi sempat pulih dari kecederaan buku lalinya.

Mengulas mengenai pendapatnya yang mengatakan pelari ketiga sebagai kunci kejayaan kuartet, beliau memberi contoh: “Jamaica ketika mencipta rekod dunia 36.84s di Sukan Olimpik London 2012, mereka menggunakan pelari kedua paling pantas sebagai pelari ketiga iaitu Johan Blake.

“Yohan Blake berada di kedudukan ketiga ketika menerima baton namun sebagai pelari kedua terpantas Jamaica, selain mempunyai teknik larian di selekoh yang baik, Blake berjaya memintas Tyson Gay (Amerika syarikat) sebelum menyerahkan baton kepada Usain Bolts.

“Pelari kedua Jamaica ketika itu, Michael Frater bukanlah pelari terpantas, tetapi paling perlahan antara keempat-empat pelari iaitu 9.88s, namun tidak dinafikan pertukaran baton mereka juga lancar,” kata Nazmizan.

Kuartet emas Jamaica mencipta rekod dunia 4×100 m, 36.84s di Olimpik London 2012.

Begitupun, Nazmizan memuji Poad dan barisan pelari pecut negara kerana berjaya mencatat masa yang baik, di kedudukan keenam Asia sambil tidak menafikan jika catatan 39.17s itu dilakukan pada zamannya, sudah pasti kuartet negara sudah dikalungkan pingat.

Ketika diminta menyenaraikan kuartet sepanjang zaman impiannya, Nazmizan memilih Watson sebagai pelari pertama, Khairul Hafiz kedua, Azmi Ibrahim ketiga dan Azeem sebagai pelari terakhir.

Walau bagaimanapun, Nazmizan dan Watson yakin kuartet negara mampu memperbaiki pencapaian menjelang temasya Sukan Asia Hangzhou, yang akan berlangsung 23 September hingga 8 Oktober depan.