“SAYA mahukan cabaran ini,” demikian tekad penuh semangat disuarakan oleh E Elavarasan yang kembali ke pentas utama bola sepak tanah air sebagai ketua jurulatih Kelantan DarulNaim FC (KDN FC) bagi saingan Liga Super musim 2025/2026 yang bakal bermula Ogosini. Kepulangan jurulatih berpengalaman itu memberi nafas baharu kepada kelab yang masih dalam proses pembentukan skuad.

Walaupun menyedari tugas ini bukan mudah, apatah lagi apabila kebanyakan pasukan lain telah memulakan latihan, Elavarasan tetap positif dan yakin dengan potensi yang dimiliki oleh KDN FC. “Memang ia bukan sesuatu yang mudah buat saya membentuk pasukan kinikerana, sebahagian besar pemain juga sudah mengikat kontrak bersama pasukan lain. Tetapi saya berharap kehadiran saya mampu memberi kesan positif buat pasukan,” ujarnya.

Elavarasan yang kini berusia 63 tahun bukan nama asing dalam bola sepak negara. Sebelum ini, beliau pernah menjadi ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun Malaysia, selain turut membantu ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon, dalam kempen Piala Asia 2023 di Doha, Qatar. Pengalaman luas beliau di pelbagai peringkat dijangka memberi nilai tambahkepada projek pembangunan semula KDN FC.

Bagi memastikan kelancaran persiapan, Elavarasan akan dibantu oleh jurulatih dari Bosnia, Muamer Salibasic. Salibasic yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia sebagai pemain import Sarawak, dijangka mampu memberikan perspektif berbeza dan segar dalam membentuk identiti permainan pasukan.

“Kami sudah kenal cara bekerja masing-masing dan saya yakin tiada masalah untuk kami bekerjasama buat KDN. Sebagai seorang bekas pemain di liga kita, Muamer juga sinonim dengan bola sepak Malaysia,” tambah Elavarasan mengenai kolaborasi yang bakal terbentuk di barisan kejurulatihan.

Buat masa ini, fokus utama Elavarasan adalah untuk memastikan pasukan bersedia secara fizikal dan taktikal menjelang musim baharu. Beliau memaklumkan latihan pra-musim KDN FC akan bermula secara rasmi pada awal Julai ini, dengan tumpuan diberikan kepada membentuk keserasian serta struktur pasukan yang mantap.

Namun begitu, Elavarasan mengambil pendekatan berhati-hati dalam berkongsi maklumat mengenai barisan pemain baharu. Beliau memilih untuk tidak mendedahkan lagi senarai penuh pemain yang akan memperkuatkan pasukan sehingga semuanya dimuktamadkan.

Dengan semangat yang dilontarkan  Elavarasan serta barisan kejurulatihan baharu, penyokong KDN FC boleh menaruh harapan untuk melihat kelab ini bersaing dengan lebih kompetitif dalam Liga Super musim 2025/2026. Segalanya kini bergantung kepada sejauh mana mereka mampu memanfaatkan masa yang singkat untuk membentuk barisan berdaya saing.