PASUKAN Selangor FC membuat keputusan drastik menamatkan kontrak pemain tengah Kosovo, Toni Domgjoni, selepas pemain berusia 27 tahun itu berdepan beberapa isu yang menjejaskan komitmennya sejak tiba di Malaysia sekali gus mengubah perancangan skuad Merah Kuning menjelang tetingkap perpindahan Januari.

Dalam kenyataan rasmi, kelab memaklumkan penamatan kontrak itu dilakukan secara persetujuan bersama selepas Domgjoni mengalami gangguan kesihatan serta masalah keluarga yang menghalangnya menyertai sesi latihan penuh.

“Selangor FC mengesahkan bahawa kelab dan Toni Domgjoni telah mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontraknya serta-merta. Sejurus tiba di Malaysia, beliau berdepan isu kesihatan dan hal keluarga yang menjejaskan penyertaannya dalam latihan penuh serta komitmen bersama skuad Selangor FC,” kata kenyataan itu.

Selangor turut mengakui pemain tersebut kekal profesional sepanjang berada dalam pasukan meskipun berdepan situasi sukar.

“Toni kekal profesional sepanjang berada dalam keluarga Merah Kuning, dan kelab amat menghargai usaha serta dedikasinya sambil mengutamakan kesihatan dan kebajikan beliau,” ujar pengurusan.

Penamatan awal ini menjadikan Mamadou Diarra satu-satunya pemain import baharu yang terus menggalas tanggungjawab utama dalam baki kempen ACL2.

Ketiadaan Domgjoni juga dijangka memberi kesan besar kepada perancangan Selangor FC yang kini perlu menilai semula pilihan pemain import bagi mengisi kekosongan itu apabila jendela perpindahan Liga Malaysia dibuka Januari depan.