Select Page

“Dulu Lim Teong Kim tak pandang pun saya” – Arif Aiman

“Dulu Lim Teong Kim tak pandang pun saya” – Arif Aiman

TINDAKAN Arif Aiman Hanapi keluar meninggalkan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) kini dilihat sebagai satu tindakan yang tepat.

Ini selepas dia mengakui bakatnya tidak pernah berjaya menarik perhatian bekas jurulatih AMD, Lim Teong Kim ketika dia menjadi salah seorang pelatih di akademi yang berpusat di Gambang itu.

Arif berkata demikian selepas membantu JDT muncul juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut dengan dua jaringannya memberikan kemenangan 5-0 ke atas Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim.

“Dulu dia tidak pandang saya pun. Semasa di AMD saya bermain dalam pasukan kedua dan langsung tidak diberikan peluang bermain dengan saya hanya diletakkan di bangku simpanan sahaja.

“Saya keluar dari AMD dan mendapat peluang di JDT dan saya tidak mahu komen apa-apa dan biarkan dia melihat sendiri,” kata pemain berusia 20 tahun itu.

Arif Aiman juga berada dalam skuad Harimau Malaya.

Arif Aiman diberikan peluang beraksi di skuad JDT II oleh bekas jurulatih Benjamin Mora sebelum diberikan kepercayaan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) untuk bermain di pasukan utama dengan melakukan debut pada 14 Mac 2020 ketika menentang Felda United dalam saingan Liga Super.

Selepas tiga musim bersama pasukan utama JDT, Arif Aiman kini berjaya meraih tiga kejuaraan Liga Super, dua Piala Sumbangsih dan satu Piala FA dan berjaya mendapat tempat dalam skuad senior kebangsaan.

Selain itu, dia turut menyerlah dalam kejohanan Liga Juara-Juara AFC dan berjaya membantu JDT layak ke pusingan 16 terbaik musim ini selepas mengenepikan Ulsan Hyundai, Kawasaki Frontale dan Guangzhou FC.

Untuk rekod, musim ini Arif sudah beraksi dalam 17 perlawanan dalam Liga Super dan menjaringkan 2 gol serta 11 bantuan jaringan dan empat lagi jaringan dalam Piala FA.

Video Terkini

Loading...