JELAJAH Dunia Akhir tahun ini adalah cerminan terbaik buat gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk menguji kemampuan mereka di Olimpik Paris 2024.

Wooi Yik berkata, meskipun mendapat pencapaian tinggi di kejohanan Jelajah Dunia, persaingan di Jelajah Dunia Akhir jauh berbeza kerana membabitkan lapan beregu terbaik dan format liga.

“Jelajah Dunia Akhir ni saya anggap sebagai ujian terbaik kepada kami sebelum aksi Olimpik (Paris) kerana formatnya sama, kumpulan (dua) dan satu kumpulan mempunyai empat pasangan.

“Ia membabitkan persaingan liga dan bukan kalah mati, jadi apabila tewas sekali masih ada peluang lagi,” kata Woo Yik, yang ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Wilayah Persekutuan bagi Sukan Sea ke-32 dan Sukan Asia ke-19, yang berlangsung di The Everly, Putrajaya.

Soh Wooi Yik menerima insentif kemenangan Sukan Asia Hangzhou ke-19 daripada Jabatan Wilayah Persekutuan, atas sumbangan memenangi pingat gangsa Sukan Asia.

Menurutnya, insentif diterimanya kerana memenangi pingat gangsa Sukan Asia di Hangzhou, China itu tetap menjadi motivasi untuk meneruskan baki saingan musim ini.

“Seperti dapat gelaran (Denmark), insentif ini tetap menjadi motivasi buat saya menghadapi baki tiga kejohanan musim ini (Japan Masters, China Masters, Jelajah Dunia Akhir), untuk saya bertahan berjuang hingga ke akhir tahun.”

Menurutnya, bagi menghadapi Korea Masters dan China Masters, dia mensasarkan untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir, untuk memastikan tempat mereka ke Jelajah Dunia Akhir, selamat.

Dari segi format pertandingan dan kualiti pesaing, Jelajah Dunia Akhir adalah medan terbaik sebagai trial Sukan Olimpik. -Soh Wooi Yik

Jelajah Dunia Akhir akan berlangsung di Hangzhou, China pada 13 hingga 17 Disember.

Dalam pada itu, Jabatan Sukan Wilayah Persekutuan menerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan menyampaikan RM164,600 kepada atlet Wilayah Persekutuan (Wipers) yang beraksi cemerlang di Sukan Sea Kemboja dan Sukan Asia Hangzhou, menyaksikan seramai 71 atlet mendapat manfaatnya.

Seramai 96 atlet Wipers mewakili negara di Sukan Sea Kemboja manakala 40, mewakili negara ke Sukan Asia Hangzhou.