PROGRAM The Elite Games yang berlangsung selama tiga hari nyata membuahkan hasil apabila Ketua Jurulatih Harimau Muda, Nafuzi Zain berpuas hati dengan potensi yang ditampilkan pemain-pemain baharu. Ujian intensif yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu menjadi medan penting dalam menilai barisan pelapis menjelang Piala Mandiri ASEAN B-23 2025 bulan depan.

Menurut Nafuzi, platform seperti ini seharusnya diteruskan secara berkala kerana ia bukan sahaja membuka ruang kepada bakat yang belum diuji di pentas antarabangsa, malah membantu staf kejurulatihan mencari kombinasi terbaik untuk kem latihan pusat bermula 1 Julai ini.

“Dalam tempoh tiga hari ini, kami berjaya memantau pemain dalam latihan serta  perlawanan simulasi, dan ramai pemain yang menunjukkan kualiti terbaik untuk dibawa ke Jakarta,” kata Nafuzi ketika ditemui media selepas sesi penilaian tertutup di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Selasa.

Daripada keseluruhan peserta Elite Games, hampir 60 peratus dijangka terpilih ke kem latihan pusat yang bakal menyaksikan Harimau Muda berdepan aksi persahabatan menentang pasukan Liga Super sebelum ke Indonesia pada 13 Julai.

Malaysia akan bersaing dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Filipina dan Brunei dengan sasaran membentuk skuad mantap berteraskan keseimbangan pengalaman dan potensi muda.

Dengan perancangan yang semakin kemas, Nafuzi percaya Harimau Muda bersedia untuk membawa cabaran negara di pentas serantau dan memperkukuh asas pembangunan bola sepak negara dari peringkat bawah.