“ERA dominasi lelaki dalam sukan sudah berakhir!” – itulah mesej berani yang dilaungkan Tan Sri Dr Norza Zakaria ketika menyampaikan ucaptama penuh semangat di Persidangan ASEAN mengenai Kesaksamaan Gender dalam Sukan 2025, yang berlangsung meriah di Cititel Penang semalam.

Atas kapasiti sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA), Norza menyuntik inspirasi kepada lebih 200 delegasi serantau apabila mengangkat kepimpinan wanita sebagai nadi kepada transformasi sukan Asia Tenggara. Menurutnya, wanita bukan lagi pelengkap, tetapi penggerak utama dalam ekosistem sukan masa kini.

Tan Sri Norza ketika berucap pada Persidangan ASEAN. |FOTO FB OCM

“Wanita kini bukan sekadar bersaing di gelanggang. Mereka mengemudi hala tuju sukan, menjadi pembuat dasar, dan mencorak landskap sukan moden dengan penuh karisma dan kredibiliti,” tegas Norza dalam ucapannya yang bertajuk “Women in Leadership: Elevating Sports, Inspiring Generations.”

Beliau turut memberi penghormatan kepada ikon wanita Asia yang menggegar dunia sukan antarabangsa seperti Mikaela Cojuangco Jaworski (Filipina), Khunying Patama Leeswadtrakul (Thailand) dan Zhang Hong (China) yang kini memainkan peranan besar dalam OCA dan IOC.

Malaysia terus menerajui agenda memperkasa wanita dalam kepemimpinan sukan. |FOTO FB OCM

Malaysia juga tidak ketinggalan dalam memacu agenda ini apabila Norza mengetengahkan pelantikan legenda skuasy dunia, Datuk Nicol Ann David sebagai Timbalan Ketua Kontinjen ke Olimpik Paris 2024, selain figura seperti Nurul Huda Abdullah, Shalin Zulkifli dan Moira Tan yang kini menduduki posisi penting dalam Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Persidangan tiga hari bertemakan “Breaking Barriers, Building Champions – Together” itu dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang turut dipuji Norza sebagai pemimpin wanita berwawasan dan simbol keberanian dalam mengangkat suara wanita di pentas sukan.

Mengakhiri ucapan, Norza menyeru semua perwakilan menjadi ejen perubahan: “Ayuh kita hancurkan tembok lama! Bangunkan struktur baharu yang lebih adil dan saksama. Wanita bukan untuk diketepikan, mereka perlu diraikan!” katanya lantang.