Kredit Gambar: MSN Malaysia
Pengorbanan meninggalkan keluarga selama tiga bulan demi menjalani latihan intensif akhirnya berbalas apabila atlet angkat berat negara, Mohamad Syahmi Nor Ghazali menghadiahkan pingat emas kategori 94 kilogram (kg) lelaki pada penampilan sulungnya di Sukan Komanwel 2026.
Atlet berusia 22 tahun itu menyifatkan kejayaan tersebut sebagai detik paling bermakna dalam kariernya selepas segala usaha, disiplin dan komitmen yang dicurahkan sepanjang tempoh persiapan akhirnya membuahkan hasil.
Mohamad Syahmi mengungguli saingan di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo menerusi jumlah angkatan keseluruhan 347kg hasil 150kg dalam acara snatch dan 197kg dalam clean and jerk.
Lebih membanggakan, angkatan 197kg dalam disiplin clean and jerk itu turut menjadi rekod baharu temasya.
Pingat perak dimenangi wakil Kanada, Alex Bellemarre dengan jumlah angkatan 346kg, manakala gangsa menjadi milik atlet Australia, Oliver Riley Saxton yang mencatat 336kg.
Selepas kejayaan itu, Mohamad Syahmi mengakui pingat emas tersebut cukup istimewa kerana hadir hasil pengorbanan besar yang dilakukan sepanjang kem latihan.
“Pingat emas ini sangat bermakna bagi saya kerana saya memang mengorbankan segala-galanya untuk sampai ke tahap ini.
“Saya tinggalkan keluarga selama tiga bulan untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada latihan. Alhamdulillah, segala pengorbanan itu akhirnya terbalas dengan pingat emas,” katanya.
Menurut pemenang pingat perak Sukan SEA 2025 itu, beliau turut mendapatkan restu ibunya sebelum turun bertanding dan nasihat yang diberikan membantu menenangkan dirinya.
“Ibu hanya berpesan supaya saya memberikan yang terbaik dalam pertandingan. Pesanan itu membuatkan saya lebih tenang dan saya hanya fikir untuk melakukan setiap angkatan sebaik mungkin,” katanya.
Kemenangan Mohamad Syahmi menyumbangkan pingat emas keenam buat kontinjen negara di Glasgow, sekali gus meneruskan dominasi skuad angkat berat Malaysia pada temasya kali ini.
Sebelum itu, Mohamad Aniq Kasdan muncul juara kategori 60kg lelaki, diikuti Muhamad Aznil Bidin (65kg), Muhammad Erry Hidayat (79kg) dan Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg), manakala satu lagi emas disumbangkan jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly dalam acara T20 lelaki.
Setakat ini, Malaysia mengumpul enam pingat emas, dua perak dan tiga gangsa, dengan kem angkat berat terus menjadi penyumbang terbesar kejayaan kontinjen negara di Sukan Komanwel Glasgow 2026.