PASUKAN England tidak mahu turun ke Piala Dunia 2026 tanpa persiapan rapi apabila memilih New Zealand dan Costa Rica sebagai lawan pemanas badan dalam aksi persahabatan yang akan berlangsung di Florida, Jun ini.
Pasukan kendalian Thomas Tuchel itu dijadual membuka tirai menentang New Zealand pada 6 Jun sebelum berdepan Costa Rica empat hari kemudian, dengan lokasi perlawanan akan diumumkan kemudian.
Dua aksi ini dilihat medan penting buat Three Lions memuktamadkan kombinasi terbaik hanya beberapa hari sebelum kejohanan terbesar dunia membuka tirainya pada 11 Jun.
Costa Rica bukan lawan asing buat England. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi persahabatan pada 2018 yang memihak kepada skuad Eropah itu, manakala di pentas Piala Dunia 2014 mereka sekadar terikat tanpa jaringan.
New Zealand pula membawa cerita lebih lama, dengan pertemuan terakhir berlaku pada 1991 menyaksikan England menang dalam dua perlawanan di Auckland dan Wellington.
Menariknya, New Zealand juga sudah mengesahkan tiket ke Piala Dunia, menjadikan pertembungan itu bukan sekadar perlawanan persahabatan biasa, sebaliknya ujian awal menghadapi pasukan dengan mentaliti kejohanan sebenar.
Di pentas Piala Dunia nanti, England bakal berdepan cabaran Kumpulan L menentang Croatia, Ghana dan Panama, laluan yang menuntut mereka berada pada tahap terbaik sejak wisel pertama dibunyikan.
Dua aksi di Florida ini jelas menjadi pentas terakhir untuk Tuchel menggilap ramuan sebelum memburu impian besar di bumi Amerika Utara.